Skip to main content

Malaysia

Sultan Muhammad V berkenan santuni mangsa kebakaran Gok Kapur

Sumber: BERNAMA
Sultan Muhammad V berkenan berangkat menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur, Kota Bharu, malam tadi. - Gambar Facebook Mohd Asri Mat Daud

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan berangkat menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Gok Kapur, di sini, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, keberangkatan Sultan Muhammad V pada saat rakyat berdepan ujian dan kesusahan melambangkan manifestasi kasih sayang seorang pemerintah yang sentiasa dekat di hati rakyat.

“Kehadiran baginda bukan sahaja membawa semangat dan kekuatan kepada mangsa yang terlibat, malah menjadi sumber ketenangan serta pengharapan kepada seluruh penduduk yang terkesan.

“Sesungguhnya, rakyat menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Sultan Muhammad V yang berkenan turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa serta menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap musibah yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Dalam lawatan itu, baginda turut menzahirkan rasa simpati dan dukacita yang mendalam atas musibah yang menimpa dan berharap agar semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini.

Pada Isnin lepas, sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur manakala punca kejadian masih dalam siasatan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement