PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan enam cadangan penambahbaikan tatakelola pengurusan dan penyaluran bantuan kewangan bagi inisiatif penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Cadangan dan syor penambahbaikan itu dikemukakan SPRM Negeri Sembilan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT Zulkeflee Sulaiman yang mewakili Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib pada sesi pembentangan yang diadakan di Putrajaya semalam.
SPRM dalam kenyataan semalam memaklumkan antara syor itu adalah keperluan menambah baik Garis Panduan KPKT dengan mewajibkan setiap RIBI berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau pertubuhan RIBI yang sah di bawah peruntukan undang-undang.
“Selain itu, SPRM turut mencadangkan penetapan justifikasi pelanjutan tempoh yang terhad kepada situasi luar jangka dan mewujudkan prosedur khusus bagi pemulangan semula dana bantuan yang gagal dibelanjakan atau sekiranya RIBI didapati melanggar syarat permohonan,” menurut kenyataan itu.
Bagi memperketat aspek pemantauan, SPRM memaklumkan syor keempat dan kelima menggariskan keperluan mewujudkan borang perincian kerja pembaikan yang lebih jelas serta borang laporan pemantauan fizikal di tapak oleh Pasukan Teknikal yang dilengkapi gambar lawatan.
Cadangan keenam pula melibatkan penyediaan ruang perakuan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi mengesahkan bahawa segala dokumen dan maklumat dikemukakan oleh pihak RIBI adalah betul serta mematuhi peraturan semasa.
“Inisiatif itu diambil susulan penyiasatan tatakelola oleh SPRM Negeri Sembilan berhubung terdapat kes RIBI yang gagal melaksanakan projek penyelenggaraan rumah ibadat selepas menerima dana daripada KPKT,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Zulkeflee dalam kenyataan sama menyambut baik kesemua enam syor berkenaan dalam usaha memperkukuh integriti, tatakelola dan kawalan dalaman.
Pada sesi itu, beliau bersetuju menerima cadangan berkenaan dan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.
-- BERNAMA