TAWAU: Satu spesimen tumbuhan misteri yang ditemui di Taman Bukit Tawau pada 2014 disahkan sebagai spesies baharu dikenali sebagai Ardisia Condensiflora.
Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan penemuan dan pengesahan spesies itu dilakukan penyelidik IBTP Dr Avelinah Julius bersama penyelidik Taman Botanik Singapura Dr Timothy M.A Utteridge.
“Spesies itu diterbitkan secara rasmi pada 26 Mei lepas dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa, Pyhtotaxa (Vol. 758, No.3), selepas tersimpan tanpa identiti di herbarium selama 12 tahun dengan status saintifiknya berjaya dirungkai.
“Tumbuhan ini ditemukan di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh dan di tebing sungai dalam Taman Bukit Tawau. Kajian taksonomi dan herbarium secara mendalam dijalankan menggunakan spesimen yang dipinjamkan daripada Herbarium Taman Sabah,” menurut kenyataan itu.
Menurut IBTP, hasil kajian mendapati setakat ini Ardisia Condensiflora hanya ditemui di kawasan berkenaan, sekali gus menjadikannya spesies endemik Sabah.
“Berdasarkan hanya dua rekod koleksi yang ditemui, spesies nadir itu dinilai secara awal sebagai Rentan (Vulnerable – VU D2).
“Spesies itu dinilai mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan taburan habitat yang sangat terhad, namun belum menerima penyenaraian rasmi badan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata hutan Sabah kekal menjadi antara “makmal hidup” paling berharga di dunia.
“Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi,” katanya.
Sejak 2017, penyelidik Dr Avelinah menyumbang kepada penemuan dan pengesahan sekurang-kurangnya lima spesies baharu Ardisia di rantau ini.
-- BERNAMA