Skip to main content

Dunia

Perancis siasat Israel susulan dakwaan penderaan seksual aktivis flotila

Sumber: itamarbengvir
Pendakwa raya Perancis akan menyiasat dakwaan layanan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat negara itu yang ditahan ketika serbuan ke atas flotila bantuan menuju ke Gaza.

PARIS: Pendakwa raya Perancis akan menyiasat dakwaan layanan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat negara itu yang ditahan ketika serbuan ke atas flotila bantuan menuju ke Gaza.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot memaklumkan, beliau telah mengarahkan pihak pendakwa memulakan siasatan susulan dakwaan bahawa tentera Israel melakukan keganasan seksual, memukul dan mengaibkan aktivis yang ditahan ketika memintas Flotila Global Sumud awal bulan ini.

Menurut beliau, jika terbukti, perbuatan tersebut berkemungkinan merupakan kesalahan jenayah.

Israel sebelum ini berdepan kritikan hebat daripada beberapa sekutu susulan cara ia mengendalikan lebih 400 individu yang ditahan di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus. 

Namun, sokongan terhadap Israel dan operasinya di Gaza, Tebing Barat, Iran serta Lubnan secara umumnya masih berterusan.

Pihak berkuasa Israel menafikan sebarang salah laku terhadap aktivis flotila tersebut.

Barrot berkata, laporan yang diterima daripada Konsul Jeneral Perancis di Turkiye memaklumkan, warganya berdepan keganasan seksual, terdedah kepada suhu sejuk melampau, dipukul serta dihina secara berulang.

“Semua perbuatan ini berkemungkinan merupakan kesalahan jenayah,” katanya dalam temu bual bersama radio awam Perancis.

Dua minggu lalu, lebih 50 bot yang membawa rakyat dari kira-kira 40 negara berlepas dari pelabuhan Marmaris, Turkiye, dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Sekatan itu dikatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia sebagai tidak sah, malah disifatkan sebagai satu bentuk hukuman kolektif.

Israel memintas kapal-kapal tersebut pada 19 Mei lalu, menahan semua penumpang sebelum menempatkan mereka dalam keadaan yang disifatkan keras, sebelum akhirnya mengusir kesemua aktivis asing terbabit.

Seramai 37 rakyat Perancis berada dalam kumpulan itu dan menggambarkan penahanan mereka sebagai “amat ganas”, “menghina” dan “tidak berperikemanusiaan.”

Barrot menjadi antara suara lantang di peringkat antarabangsa membantah layanan tersebut. 

Minggu lalu, beliau turut melarang Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir daripada memasuki Perancis selepas tular video memaparkan ahli politik itu mengejek aktivis yang diikat dan ditutup mata.

Seperti beberapa sekutu lain, Perancis turut memanggil duta Israel bagi memberikan penjelasan berhubung insiden itu.

Beberapa rakyat Perancis mendakwa mereka mengalami penderaan serius.

Meriem Hadjal, 38, mendakwa beliau diraba oleh anggota Israel dan berasa terancam kemungkinan dirogol ketika dipaksa memasuki kontena gelap, sebelum ditampar di kepala. 

Seorang lagi aktivis didakwa diseksa menggunakan senjata renjatan elektrik.

Seorang aktivis lain, Adrien Jouan menunjukkan kesan lebam pada tubuhnya dan mendakwa dipukul ketika dalam tahanan, selain menyatakan tahanan bukan berkulit putih menerima layanan lebih buruk.

Sementara itu, pengarah undang-undang Adalah, sebuah pusat bantuan guaman Israel bagi hak rakyat Palestin, Suhad Bishara berkata, kegagalan memastikan akauntabiliti akan terus membuka ruang kepada keganasan.

Menurut beliau, berdasarkan laporan yang diterima, insiden tersebut mungkin antara kes penderaan paling serius dalam tempoh sedekad, malah berpotensi diklasifikasikan sebagai penyeksaan.

Peguam Adalah turut memaklumkan, terdapat kes keganasan fizikal berulang yang menyebabkan kecederaan serius, pemaksaan posisi tekanan berpanjangan serta penghinaan dan gangguan seksual.

Pihak penganjur, Global Sumud Flotilla berkata, sekurang-kurangnya 15 kes penderaan seksual telah didokumentasikan.

Peguam yang mewakili aktivis Perancis pula memaklumkan mereka merancang untuk memfailkan aduan berasingan berhubung dakwaan rogol, penyeksaan dan penghinaan.

Dalam pada itu, aktivis terbabit dilaporkan enggan bertemu kerajaan Perancis bagi berkongsi pengalaman mereka, dengan mendakwa negara itu menyokong serangan Israel ke atas Gaza. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement