NEW DELHI: Iran tidak mempunyai sebarang isu terhadap kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz dan terus memberi jaminan keselamatan kepada laluan kapal negara di perairan strategik itu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebaliknya, beliau berkata, masalah utama ketika ini ialah kesesakan luar biasa akibat jumlah kapal yang menunggu untuk melalui Selat Hormuz sehingga menyebabkan kelewatan serta kerugian kepada syarikat perkapalan.
“Kapal Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah, namun jumlah kapal yang banyak menyebabkan kerugian apabila ada kapal tersangkut dan tersadai kerana memerlukan masa lebih lama untuk melalui Selat Hormuz,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.
Menurut Mohamad, Iran memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap kapal negara yang menggunakan laluan tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat beberapa kawasan yang dianggap berbahaya selain faktor sebahagian kapal tidak menggunakan pendaftaran bendera Malaysia turut memerlukan perhatian lanjut daripada pihak berkuasa.
“Kita berhubung dengan Tehran dan mereka sudah memberikan lampu hijau, namun arahan itu juga perlu disampaikan kepada komander di lapangan supaya tidak berlaku jurang komunikasi.
"Kita tidak mahu berlaku insiden ‘friendly fire’ yang boleh menyebabkan masalah besar.
"Jadi, kita mahukan kepastian seratus peratus bahawa laluan itu benar-benar selamat untuk kapal kita,” ujarnya.
Bercakap di luar Mesyuarat Menteri Luar BRICS di New Delhi pada Jumaat, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata Selat Hormuz kekal ditutup kepada musuh Tehran.
Namun, jelas beliau, kapal dari negara sahabat boleh melalui Selat Hormuz dengan selamat.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Iran akan membenarkan kapal-kapal Malaysia melalui selat tersebut selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran.