SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS-DASH) menerusi Latih Amal Bencana Udara dalam Program Ex Urban Falcon 2026 sebagai langkah persediaan menghadapi bencana udara.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata latihan melibatkan kira-kira 450 peserta daripada pelbagai agensi itu bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan, kecekapan tindak balas serta penyelarasan sekiranya berlaku insiden membabitkan pesawat.
“Tragedi pesawat terhempas di Elmina pada 2023 menjadi peringatan bahawa bencana udara boleh berlaku di luar kawasan lapangan terbang dan memberi kesan secara langsung kepada masyarakat serta kawasan awam.
“Pengajaran daripada tragedi itu membuktikan kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan secara berterusan menerusi latihan, perancangan rapi dan penyelarasan berkesan antara semua agensi,” katanya dalam ucapan dibacakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi pada Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah NADMA Datuk Meor Ismail Meor Akim.
Amirudin berkata latihan Ex Urban Falcon 2026 bukan sahaja menguji keberkesanan penyelarasan antara agensi, malah memperkukuh sistem Perintah dan Kawalan, meningkatkan kefahaman mengenai peranan setiap agensi serta memastikan semua pihak mampu bertindak pantas dan tepat ketika kecemasan.
“Sebagai Ahli Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN), saya melihat latihan seumpama ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan bencana," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata Malaysia Airports menyasarkan pelaksanaan 107 Latihan Kecemasan Aerodrom di seluruh rangkaian lapangan terbangnya tahun ini berbanding 95 latihan pada tahun lepas.
Beliau berkata skop latihan turut diperluaskan dengan memberi penekanan kepada insiden di luar perimeter lapangan terbang kerana situasi sedemikian melibatkan kawasan awam, rangkaian jalan raya, infrastruktur kritikal serta pelbagai agensi yang mempunyai bidang kuasa berbeza.
Beliau memaklumkan latihan Aircraft Accident Off Airport termasuk Ex Urban Falcon membolehkan Malaysia Airports mengenal pasti jurang dalam prosedur sedia ada, menilai keberkesanan Pelan Kecemasan Aerodrom serta melaksana penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan komuniti di sekitar lapangan terbang.
“Setiap latihan merupakan peluang untuk belajar dan terus menambah baik sebelum berdepan situasi sebenar. Penambahbaikan ini bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan operasi, malah memastikan keselamatan komuniti di sekitar lapangan terbang terus menjadi pertimbangan utama dalam setiap perancangan dan tindak balas kecemasan,” katanya.
-- BERNAMA