Skip to main content

Malaysia

Sarawak akan laksana empat projek perintis di bawah TIC Bintulu tahun ini - Abang Jo

KUCHING, 11 Jun -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis perasmian Sarawak Transitioning Industrial Cluster di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.  -- fotoBERNAMA
remier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis perasmian Sarawak Transitioning Industrial Cluster di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini. - fotoBERNAMA

KUCHING: Sarawak akan melaksanakan empat projek perintis tahun ini di bawah inisiatif Kluster Industri Peralihan (TIC) Bintulu untuk mempercepat penyahkarbonan industri, memperkukuh daya saing dan meletakkan negeri itu sebagai peneraju pembangunan industri rendah karbon di Asia.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek itu akan memfokuskan kepada operasi pembuatan pintar, hab pemerangkapan dan penggunaan karbon serta hidrogen (CCU-H2) Sarawak, simbiosis industri serta pembangunan bakat TIC Bintulu bagi menyokong peralihan ke arah ekosistem industri yang lebih mampan dan dipacu teknologi.

Menurutnya TIC berperanan sebagai platform terselaras yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, rakan teknologi dan pembiaya di bawah rangka kerja yang sama untuk memacu transformasi perindustrian di koridor Bintulu-Samalaju.

“Penyahkarbonan industri melalui inisiatif TIC akan menjadi komponen penting bagi mencapai matlamat Sarawak untuk mengekalkan kedudukan pelepasan karbon bersih negatif sambil mewujudkan peluang baharu untuk pelaburan, pertumbuhan industri dan daya tahan ekonomi jangka panjang,” katanya dalam ucaptama pelancaran TIC Bintulu di sini hari ini.

Abang Johari berkata projek perintis pertama iaitu operasi pembuatan pintar, akan memanfaatkan teknologi digital, kesalinghubungan dan pengoptimuman berasaskan data manakala hab CCU-H2 Sarawak akan meneroka kaedah penggunaan karbon berskala besar dan pengeluaran hidrogen.

Inisiatif ketiga iaitu simbiosis industri bertujuan mewujudkan peluang kepada syarikat untuk berkongsi sumber, memanfaatkan aliran sisa dan meningkatkan kecekapan melalui ekosistem industri yang lebih berkonsepkan ekonomi kitaran.

Inisiatif pembangunan bakat TIC Bintulu pula akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri rendah karbon yang sedang berkembang.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak mengutamakan jajaran rel Bintulu-Samalaju sebagai fasa pertama program pembangunan rel negeri itu bagi menyokong agenda transformasi industrinya.

"Apabila siap, ia akan menghubungkan Pelabuhan Bintulu, Kawasan Perindustrian Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju menjadi koridor perindustrian dan logistik yang lebih bersepadu," katanya.

Beliau berkata fasa pertumbuhan perindustrian yang seterusnya akan dipengaruhi oleh ekosistem bersepadu yang menghubungkan tenaga, industri, teknologi, infrastruktur dan bakat, berbanding kemudahan perindustrian individu yang beroperasi secara berasingan.

Menurut Abang Johari Sarawak berhasrat untuk menjadikan Bintulu sebagai antara penggerak pertama dalam era perindustrian akan datang.

Beliau berkata hanya beberapa lokasi di Asia Tenggara mempunyai kombinasi antara lokasi strategik, sumber tenaga, skala perindustrian dan potensi pertumbuhan yang terdapat di koridor Bintulu-Samalaju.

“Kami sedang membangunkan ekosistem perindustrian bersepadu, yang boleh menarik kerjasama global, menyokong peralihan tenaga Sarawak dan memperkukuh daya saing ekonomi jangka panjang Malaysia.

“Sekiranya kita berjaya, Bintulu bukan sahaja akan menyumbang kepada masa depan Sarawak. Ia juga boleh membantu membentuk masa depan pembangunan perindustrian di Malaysia, ASEAN dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement