KOTA KINABALU: Saksi ke-72 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir terkejut apabila mendapat khabar anak saudaranya itu dilaporkan jatuh dari tingkat tiga sekolah sebelum dia segera pulang ke Sabah.
Abu Bakar Lamat, 47, berkata, dia menerima berita mengenai kejadian itu pada 16 Julai 2025 ketika sedang memandu kenderaan.
“Saya menerima berita daripada isteri saya bahawa Zara telah jatuh dari tingkat tiga sekolah.
“Saya amat terkejut dengan berita tersebut dan saya bersama isteri segera bergegas pulang ke Sabah untuk menziarahi Zara di hospital,” katanya semasa membaca kenyataan saksinya di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.
Katanya lagi, sekitar jam 11 pagi pada 17 Julai 2025, dia tiba di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan dibawa ke wad di tingkat 10 untuk melihat keadaan Zara Qairina.
“Saya dimaklumkan bahawa Zara mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta patah kaki dan tangan.
“Pada ketika itu, saya melihat Zara berada di wad dengan bantuan oksigen dipasang pada mulut dan hidungnya manakala bahagian kaki dibalut.
“Saya juga dimaklumkan bahawa laporan polis masih belum dibuat kerana ibu Zara tidak dapat meninggalkan Zara bersendirian di hospital,” katanya menceritakan semula apa yang berlaku ketika itu.
Tambah saksi lagi, dia pergi ke Balai Polis Karamunsing sekitar jam 12 tengah hari untuk membantu membuat laporan polis.
“Semasa berada di sana, saya menerima panggilan daripada isteri saya yang memaklumkan bahawa keadaan Zara ketika itu nazak.
“Kami segera kembali ke hospital dan setibanya di sana saya mendapati mesin oksigen telah dimatikan, namun bantuan pernafasan masih belum ditanggalkan sementara menunggu proses pengesahan kematian.
“Proses dokumentasi dan pengesahan kematian kemudiannya dijalankan oleh pegawai penyiasat dan doktor,” katanya.
Katanya lagi, dia melihat adiknya, Noraidah Lamat iaitu ibu Zara Qairina berada dalam keadaan sangat sedih, menangis dan sentiasa berdoa agar anaknya itu dapat bangun serta bercakap semula seperti biasa.
“Pada pemerhatian saya, Noraidah tidak dapat menerima keadaan Zara ketika itu dan sangat terkesan sebagai seorang ibu,” katanya.
Ceritanya lagi, jenazah Zara Qairina dibawa ke bahagian forensik untuk urusan pengurusan jenazah dan mereka sekeluarga pula menunggu di luar bagi urusan permit penuntutan jenazah.
“Semasa menunggu, kami dibawa ke sebuah bilik khas untuk bertemu dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Dalam pertemuan tersebut, beliau memberikan kata-kata semangat dan sumbangan peribadi kepada keluarga.
“Dalam pertemuan tersebut juga, isteri saya memaklumkan mengenai dakwaan kejadian buli di sekolah Zara dan meminta agar siasatan dijalankan secara telus.
“Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa kes ini tidak akan disembunyikan, namun pihak sekolah diarahkan untuk tidak memberikan sebarang maklumat termasuk kepada waris kerana siasatan polis masih berjalan,” katanya. - Sinar Harian