KUNDASANG: Kerajaan bercadang untuk menambah 18 lagi Sistem Amaran Awal (EWS) di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan keselamatan penduduk di kawasan berisiko geologi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata ketika ini terdapat empat EWS sedang beroperasi di Sabah iaitu di Kundasang, Kokol, Kepayan Ridge dan Kinarut.
“Sistem Amaran Awal berperanan besar dalam membantu pemantauan keadaan cerun dan pergerakan tanah secara masa nyata manakala Penanda Aras Pergerakan Sesar pula menjadi instrumen kritikal untuk mengesan perubahan atau pergerakan tanah yang berlaku secara berperingkat dalam jangka masa tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemasangan Sistem Amaran Awal dan Penanda Aras Pergerakan Sesar di Sekolah Kebangsaan Mesilou di sini hari ini.
Arthur berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi nyawa rakyat, meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti serta memperkukuh daya tahan kawasan berisiko geologi seperti Kundasang dan Ranau.
Beliau berkata pendekatan yang diambil oleh kerajaan melalui NRES kini lebih bersifat proaktif dan berasaskan data.
“Kita tidak lagi hanya mahu bertindak selepas bencana berlaku, tetapi kita memberikan penekanan yang amat serius kepada langkah pencegahan, pemantauan awal dan penggunaan sains geologi serta data teknikal yang tepat,” katanya.
-- BERNAMA