Skip to main content

Malaysia

RUU Profesion Kerja Sosial 2026 perkukuh sistem kesejahteraan sosial negara - Nancy

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sidang media selepas Perasmian Persidangan Rotary 2026 (DisCon26) di bawah tema penyatuan “Bersatu Demi Kebaikan” di Pusat Persidangan dan Acara Connexion, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nancy berkata kelulusan itu merupakan langkah penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem kesejahteraan sosial negara melalui pengawalseliaan yang lebih profesional, beretika dan berakauntabiliti. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, mengiktiraf profesion kerja sosial sebagai satu profesion yang dikawal selia secara rasmi di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kelulusan itu merupakan langkah penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem kesejahteraan sosial negara melalui pengawalseliaan yang lebih profesional, beretika dan berakauntabiliti.

"Kelulusan RUU ini merupakan hasil komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama-sama pihak berkepentingan sejak lebih sedekad lepas dalam membangunkan satu kerangka perundangan yang komprehensif bagi memperkasakan profesion kerja sosial di Malaysia. 

"Sepanjang tempoh itu, pelbagai siri libat urus telah dilaksanakan bersama kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi, pengamal kerja sosial serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan RUU itu memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy berkata keperluan mewujudkan undang-undang khusus bagi mengawal selia profesion kerja sosial menjadi semakin mendesak berikutan landskap sosial negara yang semakin kompleks. 

Beliau berkata perubahan demografi, peningkatan populasi warga emas, urbanisasi, kos sara hidup serta pelbagai cabaran sosial baharu memerlukan penyampaian perkhidmatan sosial yang lebih berkualiti, profesional dan berkesan. 

"RUU Profesion Kerja Sosial 2026 akan mewujudkan satu mekanisme perundangan yang jelas bagi mengawal selia profesion kerja sosial melalui penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia. 

"Majlis ini akan berperanan mengeluarkan perakuan amalan kepada pengamal kerja sosial yang memenuhi syarat, membangunkan standard kompetensi profesional, mengawal selia etika dan tatatertib profesion serta memperkukuh promosi dan advokasi berkaitan profesion kerja sosial.

"Penubuhan majlis ini juga membolehkan orang ramai mengesahkan kelayakan pengamal kerja sosial yang berdaftar sebelum mendapatkan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan sosial negara," katanya.

Nancy berkata selain memperkukuh perlindungan kepada rakyat, RUU itu turut membuka lembaran baharu kepada pembangunan profesion kerja sosial sebagai satu kerjaya yang diiktiraf, berprestij dan mempunyai standard kompetensi yang jelas. 

Langkah itu juga, katanya dijangka merancakkan pembangunan modal insan dalam bidang kerja sosial, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menggalakkan penyertaan graduan serta memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam, sektor swasta dan NGO dalam penyampaian perkhidmatan sosial kepada masyarakat.

"Kelulusan RUU Profesion Kerja Sosial 2026 ini merupakan satu langkah besar ke arah membina sistem kesejahteraan sosial yang lebih kukuh, profesional dan mampan. Ia bukan sahaja memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada profesion kerja sosial, malah memperkukuh perlindungan kepada rakyat yang memerlukan bantuan," katanya. 

Nancy dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada kesemua 23 Ahli Dewan Rakyat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan bacaan kali kedua RUU Profesion Kerja Sosial 2026.

Beliau berkata pandangan, cadangan dan kupasan yang konstruktif mencerminkan komitmen dwipartisan dalam memperkukuh profesion kerja sosial demi kepentingan rakyat. 

"KPWKM akan meneliti setiap syor yang dikemukakan sebagai sebahagian daripada usaha menambah baik pelaksanaan akta ini pada masa hadapan," katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Profesion Kerja Sosial 2026 yang bertujuan mewujudkan mekanisme perundangan khusus bagi mengawal selia serta memperkasakan profesion itu di negara ini menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas oleh 23 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement