PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah menjadualkan semula pendengaran permohonan keluarga Altantuya Shaariibuu bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengurangkan jumlah ganti rugi dalam saman mereka berhubung kematian model warga Mongolia itu pada 2006, kepada 27 Okt ini.
Peguam Abraham Au, yang mewakili penganalisis politik Abdul Razak Baginda, ketika dihubungi Bernama berkata tarikh pendengaran permohonan itu yang ditetapkan hari ini telah dikosongkan oleh mahkamah.
Keluarga Altantuya memfailkan permohonan itu pada 19 Feb lepas bagi memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta.
Pada 20 Jan lepas, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap tindakan dua bekas anggota serta pegawai polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Keluarga Altantuya, yang memfailkan saman terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul Azhar dan kerajaan pada 2007, menuntut ganti rugi RM100 juta kerana mendakwa kematian wanita itu telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental serta trauma psikologi.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan semua defendan membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta kepada keluarga Altantuya.
Azilah dan Sirul Azhar telah disabitkan dengan kesalahan membunuh Altantuya pada 2009.
Mereka kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan sabitan terhadap kedua-duanya pada 2015.
Mahkamah Persekutuan kemudian menggantikan hukuman mati Azilah dengan penjara 40 tahun pada 2023 selepas membenarkan permohonan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
-- BERNAMA