Skip to main content

Malaysia

RTM, Astro perkukuh kerjasama perhebat pembangunan kandungan tempatan

ASTRO RTM
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Berhad, Henry Tan mengadakan pertemuan di Angkasapuri baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Astro Malaysia Holdings Berhad bersetuju memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan kandungan berkualiti terus dapat dinikmati rakyat melalui pelbagai platform penyiaran.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak menyambut baik peluasan penyiaran saluran RTM di platform Astro termasuk saluran Sukan+, Berita RTM serta rangkaian radio RTM.

Kedua-dua pihak berpandangan landskap media massa kini memerlukan pendekatan lebih progresif dan inklusif, selaras dengan perkembangan teknologi serta perubahan corak penggunaan media.

Melalui kerjasama itu, RTM dan Astro komited memperluas inisiatif yang mampu merancakkan pembangunan kandungan tempatan selain memperkasa bakat kreatif negara.

Ia juga bertujuan menyumbang kepada pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing serta relevan dengan kehendak semasa.

Inisiatif berkenaan dijangka memperluas akses rakyat kepada kandungan awam yang berkualiti, dipercayai dan relevan, sekali gus memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional.

RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat.

Seiring perkembangan teknologi dan kepelbagaian platform media, kedua-dua pihak yakin kerjasama erat antara pemain industri penting bagi memastikan kandungan berkualiti terus diakses dengan kos berpatutan.

Dalam perkembangan sama, rakyat Malaysia akan terus menikmati saluran TV1, TV2 dan TV Okey melalui platform Astro, NJOI dan Sooka.

Peluasan saluran RTM termasuk Berita RTM, Sukan+ serta radio RTM dijangka mula tersedia kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat.

Kerjasama diperkukuh itu diyakini mampu memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi serta memperkukuh industri media tempatan secara keseluruhan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement