MELAKA: Suspek kes pembunuhan melibatkan penemuan mayat reput di dalam balutan tilam dengan tangan terikat di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga di sini, disambung reman selama tujuh hari lagi bermula hari ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata tempoh tahanan reman suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun itu dilanjutkan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Polis masih menunggu arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan satu mayat reput dengan kedua-dua tangannya diikat, dibungkus dalam lipatan tilam, ditemukan di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga pada 28 Mei lepas.
Mayat terbabit dilaporkan dalam keadaan hancur, dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih dua minggu hingga sebulan dan mayat itu dilaporkan ditemukan pemilik premis, selepas dia datang membuat pemeriksaan di rumah kedai itu kerana gagal menghubungi penyewanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- BERNAMA