KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin memberi masa selama tiga bulan kepada pihak pendakwaan untuk menyerahkan notis rayuan secara fizikal, kepada bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther yang kini berada di United Kingdom (UK).
Ia berhubung rayuan pendakwaan atas keputusan yang membebaskan Muhammed Yusoff, 33, daripada kes dadah dan senjata tiruan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azman Abdullah berkata, persoalan mengenai sama ada perbicaraan rayuan boleh diteruskan atau tidak, mahkamah memutuskan notis rayuan kepada Muhammed Yusoff selaku responden, perlu dibuat secara serahan persendirian terlebih dahulu.
Menurutnya, panel meneliti surat daripada responden yang menyatakan pasportnya berada dengan pihak kerajaan UK malah beliau sendiri memohon suaka hak asasi manusia di negara tersebut.
Katanya, responden dan pihak pendakwaan selaku perayu, bersetuju bahawa serahan notis secara fizikal merupakan satu kewajipan mengikut Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
"Bagaimanapun, alasan bahawa responden tahu mengenai prosiding rayuan ini sahaja, tidak memadai untuk mahkamah meneruskan prosiding secara dalam talian, 'Zoom'.
"Pihak perayu perlu mengambil tindakan dan kaedah yang wajar bagi memastikan serahan notis secara persendirian dapat dibuat.
"Susulan itu, mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi perkembangan berhubung serahan tersebut, kemudian memutuskan sama ada pendengaran rayuan ini boleh diteruskan atau tidak," katanya.
Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan K Muniandy kemudiannya menetapkan 8 September depan untuk sebutan kes seterusnya.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan Isnin untuk prosiding pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Muhammed Yusoff dalam dua kes jenayah tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, pihak pendakwaan baharu sahaja dimaklumkan bahawa responden tidak dapat hadir ke mahkamah kerana berada di luar negara, melalui surat beberapa minggu lalu.
Sedangkan katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan berkenaan pada 16 Jun tahun lalu dan usaha untuk mengesan responden menerusi pihak polis, dibuat serta-merta.
Hanya selepas memperoleh tarikh rayuan daripada mahkamah, beliau berkata, notis rayuan itu cuba diserahkan secara personal pada dua minggu lalu, namun gagal.
“Kami mencadangkan prosiding rayuan disertai oleh responden secara dalam talian,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob.
Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff mengakui notis itu tidak diserahkan secara fizikal kepada anak guamnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, anak guam tidak mempunyai masalah sekiranya kes tersebut diteruskan secara dalam talian.
Menurutnya, Muhammed Yusoff mempunyai pengetahuan mengenai prosiding rayuan terbabit termasuk tarikh pengurusan kes, lebih awal.
“Dia bertolak ke luar negara pertengahan tahun lalu, namun saya hanya mendapat tahu mengenai permohonan suaka ini pada 1 Jun lalu.
“Bagi mendapatkan suaka, dia perlu menyerahkan pasport kepada kerajaan UK, sekali gus mustahil dia dapat pulang ke tanah air menggunakan dokumen perjalanan antarabangsa tersebut,” katanya.
Pada 12 Jun 2025, Muhammed Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tanpa perlu membela diri atas masing-masing satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki pistol tiruan.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusoff di akhir kes pendakwaan.
Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 12 November 2024, Mahkamah Majistret membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. - Sinar Harian