Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang kekal laksana tarif baharu bagi perkukuh bekalan air - Chow

FB Chow Kon Yeow 曹觀友
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu telah dipertimbangkan secara menyeluruh termasuk memberi penangguhan hampir setahun walaupun struktur tarif baharu yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sepatutnya dilaksanakan sejak 30 Julai 2025. - Foto Facebook Chow Kon Yeow

BUTTERWORTH: Pulau Pinang kekal melaksanakan tarif air baharu yang berkuat kuasa 1 Julai lepas meskipun terdapat gesaan supaya pelaksanaannya ditangguhkan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu telah dipertimbangkan secara menyeluruh termasuk memberi penangguhan hampir setahun walaupun struktur tarif baharu yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sepatutnya dilaksanakan sejak 30 Julai 2025.

"Kerajaan negeri sebelum ini mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan tarif baharu hingga 1 Julai tahun ini bagi memberi lebih masa kepada pengguna, walaupun ia boleh dikuatkuasakan sejak Ogos tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada siri Jelajah Ketua Menteri di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam di sini hari ini.

Beliau berkata tambahan hasil daripada pelaksanaan tarif baharu itu yang dianggarkan sekitar RM20 juta setahun amat penting bagi membantu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membiayai pelbagai projek memperkukuh bekalan air negeri.

Chow berkata PBAPP memerlukan perbelanjaan modal yang besar termasuk projek berkaitan keselamatan bekalan air yang melibatkan hampir RM2 bilion, selain projek bekalan air dari Perak yang turut memerlukan pelaburan berbilion ringgit.

Beliau berkata mekanisme penetapan tarif air ditentukan oleh SPAN dan diguna pakai oleh semua negeri, dengan syarikat operator air dibenarkan mengemukakan permohonan semakan tarif setiap tiga tahun berdasarkan kos operasi dan keperluan pembangunan.

Chow berkata pengguna domestik di Pulau Pinang masih menikmati kadar tarif yang lebih rendah daripada kos sebenar pengeluaran air kerana ia disubsidi secara silang oleh pengguna bukan domestik seperti sektor industri dan komersial.

“Kos sebenar untuk membekalkan air sudah melebihi RM1 semeter padu tetapi dengan kadar baharu ini pengguna domestik hanya membayar sekitar 65 sen. Pengguna industri dan komersial membayar lebih dan secara tidak langsung mensubsidi pengguna domestik,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menerusi satu surat yang dimuat naik di akaun Facebook memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk menangguhkan kenaikan tarif air sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu untuk tempoh setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata tarif air baharu itu perlu dilaksanakan bagi mengumpul dana untuk projek bekalan air segera, sekali gus memastikan bekalan air di Pulau Pinang mencukupi dan sebarang kelewatan lanjut akan menjejaskan pembiayaan bagi pelaksanaan Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030).

Beliau berkata mulai 1 Julai, kira-kira 82 peratus isi rumah di Pulau Pinang yang menggunakan 35 meter padu air atau kurang sebulan akan membayar tambahan maksimum RM0.08 sehari atau RM2.55 sebulan, manakala pengguna perniagaan yang menggunakan 500 meter padu air sebulan akan dikenakan tambahan RM2.59 sehari atau RM77.70 sebulan.

“Pendapatan tambahan itu akan membiayai inisiatif bekalan air di bawah WCP 2030, termasuk pembinaan loji rawatan air baharu Taman Mengkuang dan Sungai Perai, pengambilan tanah serta kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Sungai Dua, pengambilan tanah bagi Loji Rawatan Air Sungai Muda serta saluran paip Macallum-Bukit Dumbar,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement