Skip to main content

Malaysia

Projek bangunan SJKT Sungai Bakap tertangguh 11 tahun dijangka siap 2027 - Fadhlina

41769057073_FadhlinaSidek.jpg
Fadhlina berkata projek berkenaan diteruskan selepas Perdana Menteri meluluskan kos siling sebanyak RM12,667,367.59 dengan Yayasan Didik Negara dilantik sebagai agensi pelaksana. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Sungai Bakap, Pulau Pinang yang tertangguh sejak 2015 dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2027.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata projek berkenaan diteruskan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan kos siling sebanyak RM12,667,367.59 dengan Yayasan Didik Negara dilantik sebagai agensi pelaksana.

Beliau berkata projek itu merangkumi pembinaan blok gantian penuh bangunan sekolah yang dilengkapi enam bilik darjah, pejabat am, bilik khas serta kemudahan lain di tapak pegangan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Iklan tender projek berkenaan dikeluarkan pada 14 Jun 2026 dan tarikh Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada minggu ketiga Ogos 2026," katanya menjawab soalan Senator A. Lingeshwaran berhubung status terkini, punca kelewatan serta tindakan kerajaan menyelesaikan isu pembinaan SJKT Sungai Bakap di Dewan Negara, hari ini.

Mengulas punca penangguhan projek sejak 2015, Fadhlina menjelaskan ia berpunca daripada beberapa isu berkaitan pelaksanaan, kekangan kewangan serta pertikaian perundangan.

Beliau berkata walaupun pihak Lembaga Pengelola Sekolah telah menerima peruntukan khas secara one-off sebanyak RM3.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 2015, projek berkenaan gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

"Keadaan ini menyebabkan projek terbengkalai dan menimbulkan tuntutan liabiliti kewangan antara pihak-pihak terlibat, yang kemudiannya membawa kepada prosiding mahkamah termasuk terhadap Kementerian Pendidikan (KPM). Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen menolak kes difailkan terhadap KPM pada Mei 2026," katanya.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM bersedia meneliti semula Garis Panduan Pinda Lokasi Sekolah bagi menangani isu sekolah kurang murid, khususnya di SJKT.

Beliau berkata KPM sentiasa terbuka menyemak kriteria sedia ada demi memastikan keutamaan pendidikan diberikan kepada semua jenis sekolah secara adil, di samping menekankan kepentingan sesi libat urus bersama komuniti bagi menjayakan pemindahan sekolah mengikut keperluan demografi setempat.

"Isu-isu SJKT ini melibatkan soal komuniti, dan sebab itu sesi libat urus sangat penting di peringkat komuniti. Selain daripada garis panduan, pendekatan kita mesti juga ada sesi libat urus," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian berhubung isu sekolah terbengkalai di Sabah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di Kota Marudu dan Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu, Fadhlina berkata beliau akan memberikan jawapan secara bertulis kerana ia melibatkan perincian khusus.

Namun, beliau memberi jaminan kementeriannya sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu infrastruktur sekolah di negeri berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement