Skip to main content

Malaysia

PRN Johor: Jeneral perang BN Johor Onn Hafiz hadapi saingan Nor Hafiz di Machap

Sumber: Astro AWANI
DUN Machap menyaksikan saingan satu lawan satu antara Onn Hafiz dan calon PH daripada Amanah, Nor Hafiz Roslan. - Astro AWANI

SIMPANG RENGGAM: Pertembungan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap menyaksikan saingan satu lawan satu antara penyandang yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Amanah, Nor Hafiz Roslan.

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Pilihan Raya DUN N26 Machap, Mohd Izzul Helmi Ahmad susulan proses penamaan calon yang berlangsung pagi ini dalam keadaan lancar dan terkawal.

Machap muncul antara kerusi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini apabila melibatkan sosok penting Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, sekali gus menjadikannya medan ujian terhadap kepimpinan kerajaan Johor.

Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz memenangi kerusi ini dengan majoriti besar sebanyak 6,543 undi selepas memperoleh 11,029 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Ketika itu, beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), MUDA dan Pejuang, dalam pertembungan yang menyaksikan perpecahan undi pembangkang memberi kelebihan kepada BN.

Namun, landskap berubah kali ini apabila pertandingan menyaksikan hanya dua calon, sekali gus menjadikan saingan lebih langsung antara kerajaan negeri dan PH.

Mengulas proses penamaan calon, Onn Hafiz, yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, ia berjalan dengan baik bukan sahaja di Machap tetapi juga di keseluruhan Johor.

“Alhamdulillah dari segi pencalonan pada hari ini berjalan dengan baik dan lancar. Dan saya dapat maklumat setakat ini keadaan di 55 DUN yang lain pun berjalan dengan baik dan lancar. Dan kita doakan bahawa perjalanan dua minggu yang mendatang juga akan berada dalam keadaan baik dan lancar, insya-Allah,” katanya.

Beliau turut menyeru semua calon agar berkempen secara sihat dan beradab sepanjang tempoh kempen.

“Jadi tahniah kepada semua calon-calon yang bertanding, dan kita bertanding secara sihat, dengan tertib dan juga adab,” katanya lagi.

Mengulas peluang dalam pertembungan dua penjuru, Onn Hafiz mengambil pendekatan berhati-hati.

“Dalam keadaan pilihan raya ini, anything can happen. Jadi kita akan berjuang habis-habisan untuk mendapat undi daripada rakyat, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, pencabarnya Nor Hafiz, yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah menyifatkan peluang berdepan Menteri Besar Johor sebagai satu tanggungjawab besar yang datang bersama mandat PH.

Beliau berkata, fokus utama adalah untuk menawarkan alternatif kepada pengundi Machap.

“Saya rasa sangat bersyukur akhirnya bertemu dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi secara rasmi. Kami daripada Pakatan Harapan akan membentangkan manifesto dan tawaran kepada pengundi Machap kerana kami yakin kawasan ini boleh berkembang dengan lebih baik dan maju,” katanya.

Nor Hafiz turut menegaskan keyakinannya bahawa sokongan rakyat mampu membawa perubahan kepada negeri Johor.

“Kami cukup yakin dan percaya sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat bekerjasama dengan baik, Johor akan lebih maju dan ke hadapan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peluang menentang penyandang yang juga Menteri Besar, beliau menegaskan komitmen untuk memberikan saingan sengit.

“Kami datang dengan kesungguhan, keazaman dan keyakinan yang tinggi bahawa kita masuk adalah untuk memenangi DUN ini. Kita percaya tawaran kepada Machap adalah lebih baik dan kita yakin dengan sokongan rakyat,” katanya.

DUN Machap yang terletak di bawah Parlimen Simpang Renggam mempunyai seramai 35,206 pengundi berdaftar berdasarkan Daftar Pemilih Terkini April 2026 yang dikemas kini sehingga 31 Mei 2026.

Daripada jumlah itu, majoriti terdiri daripada pengundi biasa seramai 35,178 orang, manakala selebihnya melibatkan kategori pengundi polis dan pasangan seramai 28 orang.

Dari segi komposisi jantina, terdapat 17,476 pengundi lelaki dan 17,730 pengundi perempuan, menunjukkan keseimbangan hampir sama antara kedua-dua kumpulan pengundi.

Bagi PRN Johor ke-16 ini, hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai 2026, selepas proses penamaan calon berlangsung pada 27 Jun 2026.

 

Must Watch Video

Advertisement