Skip to main content

Malaysia

Polis tahan dua wanita bantu siasatan kes bunuh warga Myanmar

Sumber: ORANG AWAM
Seorang lelaki warga Myanmar dilaporkan maut manakala isterinya cedera selepas diserang seorang rakan senegara dalam kejadian di Taman Belibis di sini semalam. - Gambar fail/Sumber orang awam

NIBONG TEBAL: Polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga Myanmar di sebuah rumah di Taman Belibis, Simpang Ampat di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)  Supt Jay January Siowou berkata tangkapan itu susulan penahanan suspek utama, seorang lelaki berusia 38 tahun yang berjaya dicekup orang awam di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis semalam.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 3.20 petang itu, mangsa yang berumur 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera ditikam di beberapa bahagian badan.

“Turut cedera dalam insiden tersebut seorang wanita berusia 26 tahun yang kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keseluruhannya tiga individu telah ditahan dan siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan masalah rumah tangga.

Jay berkata pihaknya turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut dan Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian.

Katanya selain itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan berhampiran turut diperoleh dan sedang dianalisis.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HSJ untuk proses bedah siasat yang dijadualkan hari ini," katanya dan menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mohd Rizal Abd Rashid atau mana-mana balai polis berhampiran.

Seorang lelaki warga Myanmar dilaporkan maut manakala isterinya cedera selepas diserang seorang rakan senegara dalam kejadian di Taman Belibis di sini semalam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement