Skip to main content

Dunia

Jepun guna AI kesan cubaan bunuh diri di stesen kereta api, bangunan

Train in Japan -- ADOBE STOCK
Sistem yang dibangunkan oleh syarikat teknologi keselamatan Asilla Inc itu berfungsi secara masa nyata dengan menganalisis tingkah laku individu untuk mengenal pasti risiko kecederaan diri. -Gambar hiasan/Adobe Stock Photo

TOKYO: Kira-kira 40 stesen kereta api dan bangunan komersial di Jepun kini menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan serta mencegah cubaan bunuh diri.

Sistem yang dibangunkan oleh syarikat teknologi keselamatan Asilla Inc itu berfungsi secara masa nyata dengan menganalisis tingkah laku individu untuk mengenal pasti risiko kecederaan diri.

Teknologi berkenaan memanfaatkan kamera litar tertutup sedia ada bagi mengesan corak pergerakan mencurigakan seperti mundar-mandir atau berada terlalu lama di kawasan berisiko, termasuk di tepi landasan dan bumbung bangunan.

Apabila tingkah laku luar biasa dikesan, sistem akan mengaktifkan amaran kepada pengawal keselamatan serta kakitangan bertugas, selain dalam beberapa keadaan menyalurkan peringatan melalui pembesar suara di lokasi.

Menurut syarikat itu, pembangunan algoritma AI berkenaan melibatkan analisis kira-kira tujuh juta rakaman visual sejak 2022 merangkumi lebih 200 premis.

Selain mengenal pasti risiko bunuh diri, sistem tersebut turut berupaya mengesan kecemasan lain seperti masalah kesihatan tiba-tiba, individu tidak berupaya bergerak serta potensi ancaman keselamatan.

Setakat ini, teknologi itu dilaporkan telah membantu menyelamatkan beberapa nyawa, termasuk kes melibatkan seorang kanak-kanak yang dikesan berada di lokasi berisiko sebelum dipantau petugas keselamatan.

Sistem berkenaan kini beroperasi di sekitar 30 premis komersial dan 10 stesen kereta api utama di Tokyo dan wilayah Kanagawa.

Must Watch Video

Advertisement