KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus membuktikan peranannya sebagai antara pemangkin utama pembangunan ekosistem industri kreatif negara sepanjang 45 tahun penubuhannya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sepanjang tempoh itu, FINAS memainkan peranan penting dalam membangunkan industri perfileman dan kreatif negara, termasuk melahirkan bakat, memperkasa karya tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri.
“Meskipun kita berdepan era digital yang semakin mencabar, peranan FINAS kekal penting dalam memastikan industri filem, animasi dan kandungan kreatif Malaysia berdaya saing, selain mampu menembusi pasaran global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata usaha memperkukuh kebajikan dan perlindungan warga industri kreatif akan terus menjadi keutamaan kerajaan demi memastikan kelestarian sektor perfileman negara dalam mendepani cabaran era digital.
Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penggiat industri kreatif atas sumbangan berterusan mereka dalam meningkatkan mutu industri dari peringkat huluan hingga hiliran.
“Terima kasih kepada semua penggiat dan penggerak industri atas segala jasa dan komitmen kalian. Semoga FINAS terus cemerlang memacu industri perfileman Malaysia ke tahap lebih gemilang,” katanya.
Ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jun 1981, FINAS yang menjadi badan utama pembangunan industri perfileman negara menyambut ulang tahun penubuhan ke-45 hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengucapkan selamat ulang tahun ke-42 kepada TV3 yang disifatkannya sebagai antara stesen televisyen yang banyak mencorakkan landskap penyiaran negara sejak mula bersiaran pada 1 Jun 1984.
Beliau berkata sepanjang lebih empat dekad, TV3 konsisten menyajikan berita, hiburan dan pelbagai kandungan yang dekat di hati rakyat.
“Tahniah kepada seluruh warga kerja TV3 atas dedikasi dan komitmen mereka,” katanya.
-- BERNAMA