BANGKOK: Angka korban akibat letupan di sebuah gudang bahan letupan industri di negeri Shan, Myanmar meningkat kepada 55 orang dan dijangka terus bertambah, menurut agensi berita Shwe Phee Myay pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Letupan itu berlaku pada Ahad di sebuah gudang yang menyimpan bahan letupan industri digunakan bagi aktiviti perlombongan dan peledakan di negeri Shan, dalam kawasan yang dikawal Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA).
Kumpulan itu dalam satu kenyataan memaklumkan kemudahan berkenaan menyimpan bahan letupan untuk kegunaan aktiviti perlombongan.
Antara mangsa terkorban ialah 25 wanita dan 30 lelaki, termasuk enam kanak-kanak dan remaja, menurut agensi itu.
Ramai lagi cedera, beberapa daripadanya parah, sekali gus meningkatkan kemungkinan angka korban terus meningkat, menurut laporan itu.
Operasi mencari dan menyelamat serta kerja pembersihan runtuhan di gudang bahan letupan itu masih diteruskan, lapor Shwe Phee Myay, memetik pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Pasukan penyelamat memaklumkan mereka masih belum mempunyai data tepat mengenai jumlah individu yang berada di dalam atau berhampiran gudang ketika letupan berlaku.
Seorang warga China cedera dalam letupan itu, kata jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian dalam satu taklimat.
Beliau berkata Beijing akan terus memantau siasatan dan memberikan bantuan yang diperlukan bagi menangani kesan insiden itu.
Menurut Shwe Phee Myay, lebih 100 rumah di perbandaran Namhkam, lokasi gudang itu terletak, rosak akibat letupan berkenaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI