Skip to main content

Malaysia

PM Anwar tekad selesaikan isu perumahan generasi kedua Felda

SEGAMAT, 5 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berucap pada Program Jelajah Harapan Felda sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 di Dataran Kompleks Felda Palong Timur 2, hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berucap pada Program Jelajah Harapan Felda sempena kempen Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 di Dataran Kompleks Felda Palong Timur 2, hari ini. - Foto Bernama

SEGAMAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menyelesaikan isu penyediaan tapak perumahan bagi generasi kedua Felda, yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Beliau berkata pelaksanaannya bagaimanapun memerlukan kerjasama kerajaan negeri, memandangkan urusan tanah serta penyediaan prasarana asas berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Keputusan dasar kita adalah untuk cari penyelesaian supaya ada pembelaan, jaminan tapak tanah bagi generasi kedua Felda. Itu dasar.

“Saya telah beritahu saya mahu masalah-masalah yang dibangkitkan berpuluh tahun generasi kedua ini, diselesaikan sementara saya jadi Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab dalam soal Felda,” katanya ketika berucap pada program bertemu masyarakat di Dataran Putra Felda Palong Timur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata memandangkan urusan tanah di bawah bidang kuasa negeri, rundingan erat bersama kerajaan negeri perlu dilakukan bagi penyediaan prasarana asas, sebelum sebarang projek perumahan dapat dilaksanakan.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Felda esok, sebelum mengadakan mesyuarat bersama dengan Premier, Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam tempoh sebulan bagi perbincangan lanjut.

“Harap semua Menteri Besar hadir. Johor tak tahu, Menteri Besar sekarang (atau) Menteri Besar baharu belum tentu, itu keputusan rakyat, bukan keputusan saya.

“Tapi kalau panggil mesyuarat itu, datanglah. Semua Menteri Besar datang. Premier Sarawak datang, Menteri Besar Kelantan datang, Menteri Besar Kedah yang garang pun datang,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap penyediaan rumah mampu milik khususnya di Johor Bahru, yang menyaksikan harga rumah terus meningkat apabila ramai anak muda termasuk daripada keluarga Felda berhijrah ke bandar itu untuk bekerja.

Bagi menangani isu tersebut, beliau berkata kerajaan telah meluluskan pembangunan Rumah MADANI pada harga RM300,000 ke bawah, bagi membantu golongan muda dan keluarga bekerja memiliki rumah sendiri.

Anwar berkata kerajaan juga telah meluluskan pembinaan 1,700 unit rumah di atas tanah milik kerajaan Persekutuan termasuk di Larkin bagi memenuhi keperluan golongan bekerja dan anak muda.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai ini akan diadakan di Temerloh, Pahang berbanding di Kuala Lumpur seperti amalan sebelum ini, bagi membolehkan program itu dilaksanakan lebih dekat dengan komuniti peneroka.

Beliau berkata Johor turut dipertimbangkan sebagai lokasi sambutan Hari Peneroka tahun hadapan, tertakluk kepada perbincangan lanjut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement