KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM50 juta menerusi Program PKS@BURSA bagi membantu 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi tinggi membuat persediaan ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia sehingga 2030.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong berkata program yang dilaksanakan menerusi SME Corp Malaysia itu bertujuan membina saluran yang lebih kukuh bagi melahirkan lebih banyak syarikat yang bersedia untuk disenaraikan pada masa hadapan.
Beliau berkata menerusi inisiatif itu, syarikat yang layak boleh memanfaatkan Dana Penyenaraian PKS yang menawarkan pembiayaan antara RM2 juta hingga RM5 juta pada kadar keuntungan tidak melebihi lima peratus bagi tempoh sehingga lima tahun.
“Syarikat yang menyertai PKS@BURSA layak menerima rebat sehingga 20 peratus sekiranya berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun.
“Ini sekali gus membantu mengurangkan kos persediaan penyenaraian serta menggalakkan lebih banyak PKS berpotensi tinggi untuk mengakses pasaran modal,” katanya kepada media selepas melancarkan program PKS@Bursa dan merasmikan inisiatif ‘Road to IPO’ di sini, hari ini.
Sim berkata pembiayaan berkenaan boleh digunakan untuk tujuan modal kerja, keperluan pembiayaan korporat serta perbelanjaan berkaitan persediaan penyenaraian awam, sekali gus membantu syarikat menguruskan kos yang terlibat dalam proses penyenaraian.
Beliau berkata PKS@BURSA dirangka bagi menangani dua cabaran utama yang dihadapi syarikat sedang berkembang iaitu kos persediaan penyenaraian serta keperluan keupayaan untuk memasuki pasaran modal.
Langkah itu sekali gus menyediakan laluan lebih jelas kepada PKS yang berpotensi berkembang, memperluaskan operasi serta mendapatkan akses kepada modal pertumbuhan melalui Bursa Malaysia.
“PKS@BURSA menyokong aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkukuh ekosistem pasaran modal negara dan memperluaskan akses kepada pembiayaan pertumbuhan bagi perusahaan tempatan.
“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak syarikat tersenarai tetapi untuk melahirkan lebih banyak syarikat yang berkeupayaan untuk disenaraikan. PKS@BURSA merupakan salah satu laluan bagi merealisasikan matlamat tersebut,” katanya.
Sim berkata program berkenaan bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti bagi membantu PKS memenuhi keperluan tadbir urus dan pengurusan yang diperlukan untuk memasuki pasaran modal.
“Perjalanan untuk penyenaraian ini, mereka memerlukan (persediaan dari sudut) urus tadbir, tata kelola, yang mungkin menjadi satu cabaran kepada syarikat yang lebih kecil,” katanya.
Beliau berkata SME Corp akan bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Bursa Malaysia dan beberapa agensi lain bagi menyediakan panduan serta sokongan kepada syarikat PKS yang berminat menyertai program itu.
-- BERNAMA