KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengamalkan amalan buruh paksa dan sedang mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan pencerahan berkaitan kebimbangan yang melibatkan pembekal negara ketiga dalam rantaian bekalan global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia mempunyai undang-undang yang melindungi buruh paksa tetapi isu-isu yang dibangkitkan oleh AS di bawah Seksyen 301 melangkaui aktiviti di dalam negara.
“Kita tidak mempunyai buruh paksa di negara ini kerana kita mempunyai undang-undang khusus, malah banyak undang-undang, untuk melindungi daripada amalan buruh paksa.
“Tetapi (isu) buruh paksa (yang dibangkitkan) di bawah Seksyen 301 melangkaui daripada itu (undang-undang negara). Ia juga termasuk negara ketiga yang kita berurusan, yang mana kita membeli bahan mentah atau produk separa siap, memprosesnya dan mengeksport produk siap ke AS,” katanya.
Johari berkata demikian menerusi ucaptamanya pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan ke-49 Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM), di sini, hari ini.
Beliau berkata Malaysia sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa mematuhi piawaian buruh antarabangsa manakala buruh paksa berada di bawah rangka kerja perundangan negara.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia kini kekurangan mekanisme untuk menilai sama ada pembekal di negara ketiga dikaitkan dengan buruh paksa.
“Justeru, Malaysia sedang mengkaji mekanisme yang akan menilai pematuhan di peringkat syarikat, dan bukannya mengenakan sekatan menyeluruh ke atas seluruh negara.
“Sebagai contohnya, jika empat daripada lima syarikat di sesebuah negara mematuhi peraturan buruh paksa manakala satu tidak, kami hanya akan memilih syarikat yang mematuhi peraturan tersebut,” katanya.
Beliau berkata Putrajaya sedang berusaha untuk mengadakan lebih banyak libat urus dengan Washington bagi memastikan persefahaman bersama mengenai isu tersebut.
"Apa yang kita mahu lakukan ialah mengadakan libat urus tarif dengan AS bagi memastikan mereka memahami isu ini. Jika mereka tidak memahami isu ini, sangat sukar untuk ia diratifikasikan," katanya.
Mengenai cadangan tarif 10 peratus yang dikaitkan dengan kebimbangan buruh paksa, Johari berkata langkah itu masih belum dimuktamadkan.
“(cadangan tarif) 10 peratus yang diumumkan semalam masih belum diluluskan oleh Presiden AS.
“Jadi, kita perlu tunggu. Ramai orang keliru sama ada 10 peratus ini adalah tambahan kepada Seksyen 301. Kadar 10 peratus di bawah buruh paksa masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya.
Johari berkata Malaysia juga sedang mendapatkan penjelasan mengenai isu kapasiti berlebihan, yang sedang disiasat di bawah Seksyen 301 yang turut dibincangkan di bawah langkah-langkah perdagangan.
"Setahu saya, di negara ini tiada kapasiti berlebihan," katanya.
-- BERNAMA