SHAH ALAM: Perselisihan peribadi serta masalah kewangan harian dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sebuah kondominium di Bandar Sunway, pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan awal mendapati suspek dan mangsa saling mengenali, menjalinkan hubungan serta tinggal bersama.
“Pada peringkat awal siasatan, pihak polis berpendapat motif kejadian adalah disebabkan isu peribadi yang melibatkan hati dan perasaan, selain isu perbelanjaan harian.
“Setakat ini, suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali serta menjalinkan hubungan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata polis percaya seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an yang ditahan di lokasi kejadian merupakan suspek utama.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain yang terlibat dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan fakta kes.
Dalam pada itu, Shazeli berkata polis turut merampas beberapa barang kes, termasuk senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Pihak polis telah membuat beberapa rampasan dan kita percaya antara barang yang dirampas ialah senjata yang digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut,” katanya.
Mengulas keadaan mangsa, beliau berkata pemeriksaan awal pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jenis kecederaan kerana bedah siasat masih belum selesai.
“Saya bukan pihak yang boleh memberi jawapan sama ada ia kecederaan akibat tikaman atau tusukan. Kita perlu menunggu laporan bedah siasat. Apa yang boleh saya sahkan ialah terdapat kecederaan luaran pada tubuh mangsa,” kata Shazeli.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 11.03 pagi sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.