KUALA LUMPUR: Perancis dan Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dua hala serta mengeratkan hubungan dalam usaha merapatkan jurang di tengah-tengah persekitaran global yang semakin berpecah, kata Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour.
Beliau berkata, perkongsian antara kedua-dua negara dipacu oleh kerjasama ekonomi yang semakin berkembang, selain pertukaran kukuh dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan hubungan antara rakyat.
“Dalam dunia yang berpecah, tanggungjawab kita adalah untuk membina jambatan, dan itulah yang sedang dilakukan Perancis dan Malaysia bersama-sama,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kebangsaan Perancis di kediamannya, di sini, malam Selasa.
Abensour berkata, perdagangan dua hala meningkat 11 peratus tahun lepas, manakala kira-kira 600 syarikat Perancis yang beroperasi di Malaysia menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan tempatan.
Malaysia juga merupakan destinasi ke-10 terbesar di dunia bagi pelaburan langsung asing Perancis.
Beliau berkata, pertukaran antara rakyat kekal rancak, dengan lebih 3,700 calon mengikuti pensijilan bahasa Perancis di Malaysia, sekali gus meletakkan negara ini di kedudukan ketiga di Asia selepas India dan China.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang hadir sebagai tetamu kehormat, merasmikan sambutan itu.
Kira-kira 800 tetamu termasuk pegawai kanan kerajaan, diplomat dan duta dari pelbagai negara menghadiri majlis berkenaan.
Aneka hidangan Perancis disediakan pada majlis itu, manakala reruai khas untuk merasa durian melengkapkan sambutan dengan cita rasa Malaysia.
Hari Kebangsaan Perancis yang disambut pada 14 Julai setiap tahun memperingati pertempuran di Bastille pada 1789 serta mengangkat nilai kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan.
-- BERNAMA