Skip to main content

Malaysia

El Nino: Kerajaan perkukuh pengurusan air, bantu pesawah demi keterjaminan makanan - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini._BERNAMA
Menurut Mohamad, kerajaan juga menyediakan skim perlindungan dan bantuan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana termasuk kemarau. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh pelbagai langkah mitigasi bagi mengurangkan impak fenomena El Nino terhadap sektor agromakanan termasuk memastikan pengurusan sumber air yang lebih cekap, memperluas penggunaan teknologi pengairan pintar serta menyediakan bantuan kepada petani dan pesawah yang terjejas.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara langkah yang dilaksanakan ialah pemantauan berterusan paras air empangan dan kawasan tadahan, pengurusan sumber air secara bersepadu, penggunaan sistem pemantauan pengairan pintar serta sistem pengairan titis bagi mengoptimumkan penggunaan air.

Beliau berkata usaha meningkatkan daya tahan sektor padi turut diperkukuh menerusi penyelidikan dan pembangunan varieti padi baharu yang lebih tahan kemarau oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di samping operasi pembenihan awan yang dilaksanakan apabila keadaan cuaca mengizinkan.

“Mesyuarat Keterjaminan Makanan yang dipengerusikan Perdana Menteri juga meminta MARDI mempertingkatkan penyelidikan untuk mengeluarkan varieti-varieti baharu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad ketika menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkaitan persediaan kerajaan dalam menghadapi Super El Nino yang akan menjejaskan bekalan makanan dan import beras berkata kerajaan sentiasa mengekalkan stok bekalan beras bagi tempoh kira-kira enam bulan selain meneruskan import mengikut keperluan.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan skim perlindungan dan bantuan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana termasuk kemarau.

Menurut Mohamad, bagi fasa pertama bantuan, sebanyak RM45.24 juta telah disalurkan kepada 8,224 pesawah sejak 2024 manakala sehingga 30 Jun 2026, sejumlah RM38.53 juta diagihkan kepada 55,058 pesawah melibatkan 16,933 hektar kawasan yang terjejas akibat kemarau di utara dan timur Semenanjung.

Mohamad berkata kerajaan turut menggalakkan pembangunan sawah berskala besar termasuk di Sarawak, Pahang dan beberapa negeri lain bagi meningkatkan pengeluaran padi negara, selain memperluas amalan pertanian persekitaran terkawal bagi mengurangkan kesan perubahan cuaca terhadap tanaman dan sektor penternakan.

Mengulas soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai lambakan durian yang menyebabkan harga menurun, Mohamad berkata kerajaan akan terus memperkukuh usaha memperluas pasaran eksport, terutama ke China menerusi rundingan bagi memudahkan urusan logistik dan pelepasan kastam untuk buah segar serta produk sejuk beku.

“Durian kita di China ketika ini banyak berada di bandar-bandar besar, sedangkan bandar-bandar kecil di sana mempunyai potensi pasaran yang jauh lebih besar,” katanya, sambil menambah kerajaan berharap peluasan eksport dapat membantu menstabilkan harga dan meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement