Skip to main content

Malaysia

Penyertaan Malaysia dalam BRICS mampu perkukuh kedudukan dalam ekonomi dunia - Mohamad

SUBANG, 19 Mei -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media sejurus tiba dari Myanmar di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang malam ini.
Mohamad berkata penubuhan blok itu bertujuan memastikan negara-negara selatan tidak terus dipinggirkan, memandangkan BRICS menyumbang kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia serta mewakili populasi besar global. -Foto fail/Bernama

SEREMBAN: Penyertaan Malaysia dalam BRICS dilihat mampu memperkukuh kedudukan negara dalam persaingan ekonomi dunia, selain mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan tradisional yang didominasi kuasa besar.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penubuhan blok itu bertujuan memastikan negara-negara selatan tidak terus dipinggirkan, memandangkan BRICS menyumbang kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia serta mewakili populasi besar global.

“Agenda kita ialah memastikan negara BRICS dapat mempertingkatkan dan memaksimumkan keupayaan mereka supaya tidak terus tercicir terutama selepas pandemik COVID-19.

“Selain itu, banyak negara terbeban dengan hutang, jadi saya rasa sistem kewangan dunia sekarang pun perlu dilihat semula. Kita tidak lagi mahu terlampau bergantung kepada satu sistem,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata Malaysia kini mula memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dengan negara jiran termasuk anggota ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan kepada mata wang pihak ketiga.

Beliau berkata pada masa yang sama, usaha diperkukuh bagi meningkatkan perdagangan antara negara anggota serta mengukuhkan mata wang masing-masing melalui kerjasama ekonomi serantau.

“Ini sebabnya ringgit kita mengukuh kerana jumlah perdagangan negara meningkat dengan ketara, malah pada suku pertama tahun ini sahaja jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion.

“Malaysia merupakan sebuah negara dagang, apa saja usaha mempertingkatkan perdagangan negara, kita perlu lakukan dengan cara tersusun. Kita tak mahu terlalu terdedah dengan penggunaan mata wang asing, lebih baik kita berdagang menggunakan mata wang negara dan bank pusat negara masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam BRICS memandangkan kedudukan negara sebagai anggota ASEAN dan negara dagang yang aktif pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia boleh menggunakan asas multilateralisme BRICS dan ASEAN sebagai kekuatan untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.

Malaysia terus menjadi pilihan pelabur asing kerana dasar luar yang jelas, konsisten dan berprinsip, termasuk kekal dengan pendekatan berkecuali serta tegas terhadap isu pelanggaran hak asasi manusia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement