Skip to main content

Malaysia

Penyerahan Pelabuhan Bintulu dimuktamadkan akhir Jun - Uggah

Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS
Uggaah berkata Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memindahkan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak dengan nilai RM1.8 bilion. - Gambar UKAS

KUCHING: Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak dijangka dimuktamadkan menjelang akhir Jun tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memindahkan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak dengan nilai RM1.8 bilion.

“Pada suku ketiga, kita akan meneruskan usaha untuk menyatukan semua pihak berkuasa pelabuhan negeri di bawah satu pihak berkuasa pusat yang akan dikenali sebagai Lembaga Pelabuhan Sarawak.

“Ini akan memperkemas penggubalan dasar, pengawalseliaan serta menyelaraskan usaha pembangunan selaras pelaksanaan pelan induk strategik Pelabuhan Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya mengenai usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata setakat April tahun ini, projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 1 telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 70.05 peratus dan dijangka siap pada 2027.

Beliau berkata SSLR Fasa 2 telah dimulakan dan mencatatkan kemajuan fizikal keseluruhan sebanyak 10.55 peratus setakat April, dengan siap dijadualkan pada 2029.

“Fasa 2 akan merangkumi projek terowong jalan raya pertama Sarawak di bawah Pakej 4, dengan cadangan sepanjang kira-kira 2.24 km,” katanya.

Uggah berkata jajaran tersebut direka bentuk bagi meminimumkan kerja pemotongan bukit serta memelihara persekitaran sekeliling, di samping mengurangkan jarak perjalanan daripada 22.4 kilometer kepada kira-kira tujuh kilometer.

“Kerajaan turut menyambut baik pengiktirafan oleh Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) yang memuji penggunaan laluan terowong sebagai pendekatan seimbang antara pembangunan infrastruktur dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement