Skip to main content

Malaysia

Pendekatan ijtihad kontemporari tangani cabaran pengurusan haji - Dr Zulkifli

Sumber: Astro AWANI
Dr Zulkifli berkata, antara contoh ijtihad semasa termasuk penetapan kuota jemaah, kawalan pergerakan serta pelaksanaan langkah kesihatan seperti vaksinasi ketika berdepan penyakit berjangkit. - Astro AWANI

JEDDAH: Pendekatan ijtihad kontemporari yang berpandukan Maqasid Syariah bertujuan menangani cabaran pengurusan haji yang semakin kompleks, selari dengan perkembangan semasa melibatkan aspek kesihatan, teknologi dan pengurusan jemaah berskala besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perubahan global yang pesat menuntut pendekatan ijtihad yang lebih dinamik, melibatkan kerjasama antara pakar syariah dan bidang lain seperti perubatan, teknologi serta pentadbiran.

Menurut beliau, pelaksanaan ijtihad bukan bertujuan mengubah hukum yang tetap, sebaliknya memastikan keanjalan syariah terus relevan dalam menghadapi realiti semasa.

“Ijtihad adalah usaha para fuqaha dalam mengeluarkan hukum daripada dalil yang terperinci, dan ia satu keperluan yang mesti sentiasa wujud dalam setiap zaman,” katanya ketika membentangkan kertas kerja sebagai panel pada The Grand Hajj Symposium Kali Ke-50 di sini.

Beliau berkata, ibadah haji menjadi medan paling jelas bagi pelaksanaan ijtihad kontemporari, memandangkan peningkatan jumlah jemaah serta cabaran pengurusan yang semakin kompleks setiap tahun.

Menurutnya, pendekatan Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa dan akal perlu menjadi asas dalam setiap keputusan berkaitan pengurusan haji.

“Prinsip memudahkan atau al-taysir adalah asas penting dalam haji, dan ia perlu diaplikasikan dalam semua aspek termasuk pengurusan jemaah, kesihatan dan penggunaan teknologi,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, antara contoh ijtihad semasa termasuk penetapan kuota jemaah, kawalan pergerakan serta pelaksanaan langkah kesihatan seperti vaksinasi ketika berdepan penyakit berjangkit.

Katanya, semua langkah itu selari dengan prinsip fiqh yang mengutamakan pencegahan kemudaratan dalam memastikan keselamatan jemaah.

Selain itu, penggunaan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), sistem pendaftaran elektronik dan aplikasi panduan ibadah turut membuka ruang baharu dalam memudahkan urusan jemaah.

“Teknologi boleh membantu melancarkan perjalanan haji, tetapi ia mesti digunakan secara beretika dan selari dengan nilai Islam,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan konsep istita’ah atau kemampuan perlu dilihat secara lebih luas dalam konteks semasa, melibatkan bukan sahaja kemampuan fizikal dan kewangan, tetapi juga pematuhan kepada peraturan serta keperluan permit haji.

Mengulas peranan Malaysia, Dr Zulkifli berkata negara ini menjadi antara contoh penting dalam pelaksanaan ijtihad institusi, dengan sokongan pelbagai badan seperti JAKIM dan institusi pengurusan haji.

Menurut beliau, Tabung Haji khususnya diiktiraf sebagai model global dalam menguruskan keperluan kewangan dan operasi haji secara sistematik serta bersepadu.

“Tabung Haji merupakan contoh unik yang menggabungkan aspek fiqh dan pengurusan kewangan dalam satu sistem yang tersusun, dan telah memberi manfaat besar kepada umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman Malaysia itu menunjukkan bagaimana ijtihad yang dilaksanakan secara tersusun mampu menghasilkan institusi yang memberi impak berpanjangan kepada masyarakat Islam.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar usaha ijtihad secara kolektif terus diperkukuh melalui kerjasama lebih erat antara negara dan institusi Islam di peringkat antarabangsa.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya hasil perbincangan dan keputusan ijtihad yang dicapai dalam forum seperti simposium ini didokumentasikan dan dikongsi bagi manfaat umat Islam secara menyeluruh.

“Pendekatan ijtihad perlu lebih proaktif dan berstruktur supaya kita sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa depan pengurusan haji,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas usaha berterusan menambah baik kemudahan dan pengurusan haji, termasuk pembangunan infrastruktur di kawasan Masyair.

The Grand Hajj Symposium Kali Ke-50 itu menghimpunkan ulama, pakar dan pembuat dasar dari seluruh dunia bagi membincangkan isu semasa serta masa depan pengurusan ibadah haji secara lebih menyeluruh.

 

 

Must Watch Video

Advertisement