Skip to main content

Malaysia

Pendekatan holistik perlu bagi tangani isu remaja hamil luar nikah - Pakar

51731231123_mengandung.jpg
Kita perlu mengukuhkan kerjasama antara pelbagai agensi bagi mengenal pasti remaja berisiko lebih awal dengan melaksanakan intervensi yang bersesuaian. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes hamil luar nikah dalam kalangan remaja menuntut pendekatan secara holistik dan seimbang yang merangkumi aspek pendidikan, pencegahan, sokongan psikososial serta pengukuhan institusi keluarga, demikian menurut pandangan pakar.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Rajwani Md Zain berkata langkah paling berkesan ialah melalui kerjasama pelbagai pihak melibatkan kerajaan, sekolah, keluarga, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata usaha itu perlu disokong dengan pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif dan hubungan sihat di sekolah, selain memperluas program keibubapaan bagi mengukuhkan komunikasi antara ibu bapa dan anak.

"Akses kepada perkhidmatan kaunseling dan sokongan kesihatan mental yang mesra remaja juga perlu dipertingkat, di samping memperkasakan program pembangunan sahsiah, kemahiran hidup serta literasi digital supaya remaja lebih bijak membuat keputusan.

"Selain itu, kita perlu mengukuhkan kerjasama antara pelbagai agensi bagi mengenal pasti remaja berisiko lebih awal dengan melaksanakan intervensi yang bersesuaian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bahawa isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja memerlukan perhatian serius berikutan implikasinya terhadap masa depan golongan itu, institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

Nancy berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 21,114 remaja berusia bawah 19 tahun hamil dan tidak berkahwin direkodkan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2024.

Rajwani menjelaskan peningkatan kes itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kurangnya pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif, pengaruh media sosial yang memudahkan akses kepada kandungan seksual serta tekanan rakan sebaya.

Beliau berkata kelemahan komunikasi antara ibu bapa dan anak mengenai seksualiti dan hubungan sihat, di samping masalah psikososial seperti konflik keluarga, pengabaian, kemurungan, rendah harga diri serta penyalahgunaan dadah atau alkohol, turut meningkatkan risiko remaja terlibat dalam kehamilan luar nikah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami Suraya Ali berkata pendekatan dan program kesedaran sedia ada masih belum mencukupi kerana lebih cenderung kepada tindakan reaktif atau bertindak selepas “nasi menjadi bubur”, berbanding pendekatan pencegahan awal yang menyeluruh. 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pemerkasaan literasi digital dan pendidikan keselamatan reproduktif menerusi modul interaktif yang mesra remaja, selain memperluas pelaksanaannya ke kawasan pinggir bandar dan pedalaman.

Beliau menasihatkan setiap ahli masyarakat untuk memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem perlindungan yang kukuh demi masa depan generasi muda.

“Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama dengan membina hubungan yang telus dan empati serta memantau aktiviti digital anak, manakala sekolah perlu memperkasa pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial serta mengoptimumkan peranan guru kaunseling bagi mengesan perubahan tingkah laku pelajar pada peringkat awal.

“NGO seperti Anak Kami akan terus bertindak sebagai jambatan yang menyalurkan bantuan psikososial, menggerakkan kempen kesedaran di peringkat akar umbi dan menyokong dasar-dasar kerajaan,” katanya.

 Suraya turut berkata keutamaan perlu diberikan kepada pelaksanaan pendidikan seks atau kesihatan reproduktif secara menyeluruh di peringkat sekolah, termasuk mendedahkannya lebih awal kepada murid sekolah rendah atas.

Selain itu, katanya, silibus pendidikan moral wajar dikembalikan dan diperkasa selaras dengan cabaran era digital hari ini, khususnya dengan menerapkan modul khas pendidikan menentang pengantunan seksual (sexual grooming).

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan satu saluran sistem amaran awal dan aduan terus secara holistik yang menghubungkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM serta NGO berkaitan bagi membolehkan mangsa mendapatkan perlindungan segera.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement