Skip to main content

Malaysia

Pendaki hilang: Operasi SAR Gunung Batu Putih berdepan ancaman hidupan liar

TAPAH, 31 Mei -- Peserta Konservasi Gunung Batu Putih mendaki ke puncak Gunung Batu Putih yang dirakam pada Februari 2024.  Gunung Batu Putih kini menjadi lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang dikelilingi sekurang-kurangnya lapan penempatan Orang Asli termasuk Pos Musoh dan Pos Gedong yang terletak berhampiran kawasan berkenaan._BERNAMA
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih dekat Tapah, berdepan cabaran tambahan apabila pasukan penyelamat mengesan najis dipercayai milik haiwan liar berbahaya, termasuk harimau kumbang di beberapa kawasan operasi. - BERNAMA

IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih dekat Tapah, berdepan cabaran tambahan apabila pasukan penyelamat mengesan najis dipercayai milik haiwan liar berbahaya, termasuk harimau kumbang di beberapa kawasan operasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata penemuan itu menunjukkan kawasan pencarian berada dalam habitat hidupan liar, namun operasi tetap diteruskan dengan pematuhan prosedur keselamatan yang ketat.

“Pasukan SAR mengambil pendekatan mengelakkan kawasan yang dikenal pasti berisiko, selain sentiasa mengutamakan keselamatan anggota sepanjang operasi dijalankan.

“Kami mengutamakan langkah keselamatan dan menghindari kawasan itu, namun pada masa sama kami faham bahawa kami yang memasuki habitat mereka, jadi kena berhati-hati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pasukan SAR turut memperluaskan usaha pencarian dengan menggunakan tiga kamera pengawasan hidupan liar milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mendapatkan petunjuk baharu mengenai keberadaan mangsa.

“Dua kamera, iaitu di Bukit Batu Putih berjaya merakam imej Jaslinda manakala sebuah lagi kamera di Bukit Berapit yang diperiksa hari ini tidak menunjukkan sebarang rakaman berkaitan.

“Pasukan juga dijadualkan memeriksa sebuah lagi kamera di Gunung Rayu yang terletak kira-kira satu kilometer di luar laluan utama pendakian di kawasan Ulu Jelai dekat Lipis, Pahang,” katanya.

Sabarodzi berkata langkah itu diambil bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa tersasar daripada laluan asal dan seterusnya membantu menentukan arah pencarian yang lebih tepat.

“Pencarian di laluan Sungai Ayer Busok dan kawasan sekitar Kem Sukaneka sebelum ini yang belum pernah diterokai telah selesai dijalankan, namun tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

“Kawasan yang telah diperiksa dan ditanda setakat ini adalah negatif, namun operasi akan diteruskan di lokasi lain yang dikenal pasti berpotensi (jumpa),” katanya.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lepas melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun mangsa dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei (7.30 pagi).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement