PUTRAJAYA: Seorang pemuda yang membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di kebun kelapa sawit di Sungai Besar, Sabak Bernam tiga tahun lalu, terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, untuk mengetepikan hukuman gantung yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang sebelum ini.
Semasa membacakan keputusan sebulat suara, Azman berkata mahkamah mengambil kira usia muda perayu ketika kejadian, iaitu 20 tahun.
Selain itu, beliau berkata, wujud pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Kami mengetepikan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman berkenaan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Hakim Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Di bawah pindaan undang-undang baharu, mahkamah mempunyai budi bicara sama ada mengekalkan hukuman gantung sampai mati atau menggantikannya dengan penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun yang tidak dijatuhi hukuman mati, mahkamah boleh mengenakan hukuman 12 sebatan.
Semasa hujahan, peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili bekas penuntut universiti itu berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman terlalu berat terhadap anak guamnya.
“Muhammad Fakrul Aiman telah mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula, malah ketika kejadian dia hanya berusia 20 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memohon mahkamah mengekalkan hukuman gantung kerana jenayah dilakukan disifatkan sangat kejam.
Pada 1 Jun 2023, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam, 22 Mei hingga jam 8 pagi, 23 Mei tahun sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. -- Sinar Harian