Skip to main content

Malaysia

Pemfailan tuntutan TTPM di Pulau Pinang meningkat, 775 kes selesai tahun lepas - KPDN

BUKIT MERTAJAM, 29 Julai -- Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan bercakap pada sidang media berhubung perlupusan pelbagai barangan daripada 59 kes bernilai RM2.34 juta bagi tempoh enam bulan tahun ini di Kompleks Penyimpanan KPDN negeri hari ini.  Jegan berkata, barangan itu adalah hasil rampasan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Antipencatu
Jegan berkata terdapat segelintir pengguna yang enggan memfailkan tuntutan walaupun mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana beranggapan proses tribunal sukar serta melibatkan kos yang tinggi. - Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Kesedaran pengguna di Pulau Pinang terhadap hak mereka untuk menuntut keadilan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semakin meningkat apabila jumlah pemfailan tuntutan menunjukkan trend pertambahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan berkata sebanyak 614 tuntutan difailkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 777 kes pada tahun lepas manakala 444 tuntutan direkodkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga 30 Jun lepas.

“Peningkatan pemfailan tuntutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan masyarakat semakin memahami hak mereka sebagai pengguna dan mengetahui saluran yang boleh digunakan bagi mendapatkan pembelaan.

“Perkembangan ini amat positif kerana ia mencerminkan tahap kesedaran pengguna di Pulau Pinang yang semakin tinggi terhadap hak mereka di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 sekali gus menunjukkan usaha advokasi dan penerangan yang dijalankan KPDN selama ini berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi TTPM,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat pengguna yang belum mengetahui bahawa mereka boleh membawa pertikaian melibatkan tuntutan tebus rugi ke TTPM tanpa perlu melalui proses mahkamah yang rumit. 

Jegan berkata terdapat juga segelintir pengguna yang enggan memfailkan tuntutan walaupun mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana beranggapan proses tribunal sukar serta melibatkan kos yang tinggi.

“Hakikatnya, proses di TTPM sangat mudah, cepat dan hanya melibatkan bayaran pemprosesan RM5. Tribunal yang merupakan saluran alternatif yang berkesan bagi menyelesaikan pertikaian pengguna tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan antara tuntutan yang paling banyak difailkan di negeri ini membabitkan isu pengubahsuaian rumah dan perkhidmatan rawatan penjagaan kecantikan selain aduan turut banyak melibatkan pembelian barangan elektrik serta perabot.

Beliau berkata bagi kes pengubahsuaian rumah, aduan lazimnya berkaitan kelewatan menyiapkan projek, mutu kerja yang tidak memuaskan atau kegagalan kontraktor mematuhi perjanjian, manakala bagi perkhidmatan kecantikan pula ia melibatkan perkhidmatan yang tidak menepati janji, kesan sampingan rawatan atau pakej yang tidak seperti ditawarkan.

Selain itu, katanya, antara faktor utama yang mendorong pengguna membawa kes ke tribunal ialah kegagalan peniaga memberikan bayaran balik, membekalkan barangan yang tidak menepati spesifikasi dijanjikan serta pelanggaran kontrak.

Jegan memaklumkan sebanyak 262 kes berjaya diselesaikan sehingga 30 Jun lepas, sementara 775 kes daripada 777 tuntutan yang difailkan pada tahun lepas juga telah diselesaikan dengan baki dua kes masih tertangguh susulan permohonan penangguhan oleh pihak yang menuntut.

Bagi menangani isu berulang, beliau berkata KPDN Pulau Pinang mempergiat program advokasi dan penerangan awam, meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap peniaga selain mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri bagi memastikan kepatuhan kepada undang-undang, disamping memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara.

“Antara kesilapan yang sering dilakukan pengguna ketika memfailkan tuntutan ialah gagal mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap seperti resit pembelian, kontrak atau perjanjian, bukti pembayaran serta maklumat pihak yang dituntut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya menyimpan semua dokumen berkaitan urus niaga dengan baik bagi memudahkan proses tuntutan sekiranya berlaku pertikaian.

Jegan turut mengingatkan peniaga supaya mengamalkan urus niaga secara telus, mematuhi spesifikasi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan serta menghormati hak pengguna bagi mengelakkan pertikaian daripada dibawa ke tribunal.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement