Skip to main content

Malaysia

Pemberi maklumat boleh ambil tindakan undang-undang jika identiti dibocorkan

51744102561_CourtMahkamah.jpg
J Shamesh berkata, mereka juga berhak memulakan tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas sebarang kerugian, kerosakan reputasi atau kesan lain yang timbul akibat pendedahan tanpa kebenaran tersebut.

KUALA LUMPUR: Pemberi maklumat yang mendapati identiti atau dokumen sulit mereka didedahkan selepas laporan dibuat kepada pihak berkuasa mempunyai saluran perundangan untuk mendapatkan pembelaan dan perlindungan. 

Pakar perundangan, Datuk J Shamesh berkata, individu terbabit boleh membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kebocoran maklumat berkenaan. 

Selain itu, katanya, mereka juga berhak memulakan tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas sebarang kerugian, kerosakan reputasi atau kesan lain yang timbul akibat pendedahan tanpa kebenaran tersebut. 

"Dalam keadaan tertentu, pemberi maklumat turut boleh memohon injunksi mahkamah bagi menghalang penyebaran lanjut dokumen sulit atau pendedahan identiti mereka kepada pihak yang tidak berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Shamesh berkata, perlindungan kepada pemberi maklumat penting dalam memastikan individu berani tampil melaporkan salah laku tanpa bimbang berdepan ugutan, gangguan atau tindakan balas.

Menurutnya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 turut menyediakan perlindungan khusus kepada individu yang layak, termasuk jaminan terhadap kerahsiaan maklumat yang disalurkan kepada pihak berkuasa.

"Peruntukan ini diwujudkan bagi menggalakkan pendedahan salah laku demi kepentingan awam, selain memastikan pemberi maklumat tidak terdedah kepada kesan buruk susulan tindakan mereka membantu pihak berkuasa," katanya.

Selain itu kata beliau, pendedahan maklumat sulit pemberi maklumat bukan sahaja boleh menggugat usaha membanteras salah laku, malah mendedahkan individu yang tampil membantu pihak berkuasa kepada pelbagai risiko dan ancaman.

"Pada masa sama, kebocoran dokumen sulit boleh membawa kesan kepada proses keadilan kerana ia berpotensi menjejaskan integriti bahan bukti, selain merumitkan tindakan penguatkuasaan dan prosiding perundangan.

"Kebocoran maklumat boleh menggagalkan siasatan apabila pihak yang disyaki diberi amaran lebih awal, sekali gus menjejaskan proses pengumpulan, pemeliharaan dan kebolehterimaan bukti di mahkamah," jelasnya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement