KUALA LUMPUR: Pelarian tidak seharusnya dipersalahkan atas isu kos sara hidup dan keselamatan yang berpunca daripada pelbagai faktor ekonomi, sistemik dan global, kata Ketua Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Louise Aubin.
Beliau berkata, pelbagai fakta telah dikemukakan kepada umum oleh pihak berkuasa bertujuan untuk membetulkan tanggapan ini.
“Jumlah mereka sebenarnya kecil, namun mereka tetap memerlukan sokongan… salah tanggapan terhadap pelarian ini bukan hanya berlaku di Malaysia.
“Ia kelihatan seperti satu trend global di mana pelarian dijadikan sasaran bagi kebimbangan dan keresahan masyarakat secara umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Persidangan Kuala Lumpur: Soidariti Bersama Pelarian di Dewan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di sini hari ini.
Forum tersebut diadakan bersempena Hari Pelarian Sedunia yang disambut pada 20 Jun setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi komuniti pelarian di seluruh dunia.
Aubin berkata terdapat kira-kira 220,000 pelarian berdaftar di Malaysia dan jumlah itu adalah kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan populasi negara.
Mengulas isu keselamatan, beliau turut memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail pada Rabu lalu bahawa trend jenayah membabitkan etnik Rohingya di negara ini adalah rendah.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri telah mengemukakan fakta yang sangat membantu kepada orang ramai bahawa pelarian bukan penyumbang kepada kadar jenayah di Malaysia,” katanya.
Menurut Mohd Khalid, seramai 89 individu daripada etnik berkenaan direkodkan terlibat dalam kes jenayah bagi tempoh 2024 hingga tahun ini, iaitu hanya 0.02 peratus daripada keseluruhan statistik jenayah negara.
Namun, Aubin menegaskan semua pelarian perlu mematuhi undang-undang negara yang menjadi tuan rumah dan tidak kebal daripada tindakan undang-undang.
Katanya, negara tuan rumah juga perlu menghormati hak pelarian untuk mendapatkan perlindungan serta tidak menghantar mereka pulang ke tempat yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka.
“Justeru, wujud satu bentuk saling menghormati antara negara tuan rumah dan pelarian. Ia hampir seperti satu kontrak sosial antara kedua-dua pihak,” katanya.
Pada masa sama, Aubin berkata komuniti pelarian tidak pernah memilih untuk meninggalkan negara asal mereka kerana setiap individu pastinya mahu hidup dan membina masa depan di tanah air sendiri.
Jelasnya, konflik yang berlaku di negara asal menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan perlindungan di negara lain demi keselamatan diri dan keluarga.
Dalam pada itu, Aubin turut menyambut baik usaha kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Jelasnya, inisiatif itu merupakan langkah penting untuk proses kenal pasti, pendaftaran dan dokumentasi pelarian secara lebih tersusun, sekali gus memperkukuh perlindungan serta penyelesaian jangka panjang bagi golongan berkenaan.
“Saya percaya usaha ini memerlukan keutamaan serta sokongan penuh daripada semua pihak pada masa hadapan,” katanya.
Aubin turut memaklumkan tidak semua individu yang datang ke Malaysia layak diiktiraf sebagai pelarian jika tidak berdepan pencabulan hak asasi manusia atau nyawa mereka terancam.
Menurutnya UNHCR turut melaksanakan proses pengesahan yang ketat melibatkan temu bual dan semakan silang maklumat melibatkan pejabat organisasi tersebut di negara-negara lain
“Ia bertujuan untuk memastikan identiti individu berkenaan serta dakwaan mengenai sebab mereka melarikan diri adalah benar dan dapat disahkan,” katanya lagi.