Skip to main content

Malaysia

PEKA mohon pasukan petugas khas siasat pemindahan gajah DAK ke Jepun

DAK PEKA
Rajesh ketika hadir bagi menyerahkan memorandum kepada Norbariah Ramli (dua dari kiri) di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Satu lagi memorandum diserahkan kepada pihak polis oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) bagi menggesa tindakan segera diambil berhubung pemindahan tiga ekor gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping ke Tennoji Zoo di Osaka, Jepun.

Presiden PEKA, Rajesh Nagarajan berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung memorandum terdahulu yang telah diserahkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) lain kepada pihak berkuasa berkaitan isu tersebut.

Beliau berkata, memorandum terbaharu itu diserahkan kepada Ketua Polis Negara bagi memohon penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas (Special Task Force) untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan percanggahan dokumen, kemungkinan penyelewengan prosedur serta potensi penyalahgunaan kuasa dalam proses pemindahan tiga ekor gajah berkenaan.

Menurutnya, pasukan khas itu dicadangkan dianggotai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai kepakaran dalam siasatan jenayah kolar putih, undang-undang alam sekitar dan transaksi antarabangsa.

“PEKA turut memohon agar semua laporan polis yang telah dibuat oleh pertubuhan ini serta pihak lain berkaitan pemindahan Gajah DAK disiasat secara menyeluruh, termasuk meneliti status semasa siasatan.

“Kami juga mahu pihak polis meneliti dan mengesahkan kesahihan semua dokumen berkaitan seperti permit CITES, sijil kesihatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), invois, airway bill, surat-menyurat rasmi antara agensi serta sebarang kelulusan dalaman yang diberikan,” katanya ketika hadir pada Penyerahan Memorandum Untuk Dara, Amoi, Kelat di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. 

Rajesh berkata, pihaknya turut meminta agar semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam proses pemindahan berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan.

"Antara pihak yang dicadangkan untuk dipanggil termasuk pegawai Zoo Taiping, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta mana-mana pihak swasta yang berkaitan.

"Siasatan perlu dijalankan secara telus, bebas dan segera, selain dapatan siasatan sewajarnya dimaklumkan kepada PEKA serta orang awam," ujarnya lagi. 

Terdahulu, menerusi laporan media sebelum ini Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjelaskan tiga ekor gajah berkenaan yang kini ditempatkan di TZO melibatkan perjanjian bersama Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) bagi tempoh selama 25 tahun.

Perjanjian itu merupakan kerjasama antarabangsa yang dipersetujui di antara TZO dengan ZTNS yang diwakili oleh MPT dan telah dipersetujui pada Mei dan Oktober 2022.

Must Watch Video

Advertisement