Skip to main content

Malaysia

'Netizen patut tekan kerajaan Myanmar, bukan pelarian Rohingya" - GPM

CO'X BAZAR, 26 Nov -- Pelarian Rohingnya berkumpul di sebuah madrasah yang disumbangkan oleh kerajaan Malaysia di Kem Pelarian Rohingnya di Kem Balukhali semalam. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
Krisis pelarian Rohingya memuncak pada 2017 apabila operasi ketenteraan Myanmar di Negeri Rakhine memaksa lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dalam apa yang disifatkan PBB sebagai “contoh klasik pembersihan etnik”. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan menggesa masyarakat menggunakan pelbagai saluran termasuk media sosial untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar agar segera menangani krisis pelarian Rohingya yang berlarutan.

Presiden Global Peace Mission (GPM), Mohd Khairul Anwar Ismail menegaskan punca utama isu tersebut adalah diskriminasi sistematik serta penindasan berterusan yang dilakukan oleh rejim junta Myanmar terhadap etnik Rohingya.

“Wahai netizen, serang kerajaan Myanmar… mengapa diserang komuniti Rohingya? Mereka tiada pilihan sebagai pelarian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Forum Pelarian, Kemanusiaan dan Kehidupan Bersama: Mencari Titik Temu antara Keselamatan, Maruah dan Keharmonian Sosial yang berlangsung di Dewan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), di sini, hari ini.

Mohd Khairul turut berpendapat kritikan terhadap rejim junta harus dilakukan seperti mana kecaman ditujukan ke atas rejim Zionis Israel yang menindas warga Palestin.

"Isu Palestin kita kutuk Zionis di media sosial... tapi kita lupa isu sebenar apabila melibatkan hal Myanmar," katanya.

Pada masa sama, Mohd Khairul menjelaskan komuniti pelarian, khususnya etnik Rohingya, semakin berdepan kekangan untuk mendapatkan perlindungan di negara lain kerana pilihan yang tersedia kini semakin terhad.

Menurut beliau, sebahagian negara ketiga yang sebelum ini menjadi destinasi suaka atau penempatan semula (resettlement) turut menghentikan penerimaan pelarian berkenaan atas pelbagai faktor dan cabaran dalaman.

“Dulu kita boleh hantar ke negara ketiga tetapi sekarang mereka sudah henti menerima kemasukan pelarian, nak hantar ke mana?” katanya.

Rabu lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail turut memaklumkan proses penghantaran pelarian Rohingya ke negara ketiga telah dihentikan susulan pelbagai kekangan yang dihadapi negara-negara terlibat.

Mohd Khairul berpendapat sekiranya negara-negara ketiga kembali membuka pintu kepada pelarian, sekurang-kurangnya ratusan ribu individu berpotensi ditempatkan semula di negara berkenaan.

Image
Global Peace Mission, Khairul Izwan, GPM
Mohd Khairul (dua dari kiri) turut menggesa semua pihak mencari penyelesaian isu Rohingya secara aman dan konstruktif. - Foto Astro AWANI

Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak mencari penyelesaian secara aman dan konstruktif terhadap isu Rohingya, tanpa melibatkan unsur ancaman atau hasutan yang berpotensi menimbulkan masalah baharu.

“Apabila kita mencipta masalah, kita hanya menyebarkan masalah yang baru dan ini yang perlu dielakkan,” katanya lagi.

Etnik Rohingya berdepan penindasan di Myanmar sejak pelaksanaan Akta Kewarganegaraan 1982 yang menyebabkan mereka kehilangan status warganegara dan menjadi antara komuniti tanpa kerakyatan terbesar di dunia.

Krisis itu memuncak pada 2017 apabila operasi ketenteraan Myanmar di Negeri Rakhine memaksa lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dalam apa yang disifatkan PBB sebagai “contoh klasik pembersihan etnik”.

Pada tahun sama, dua pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 1,000 Rohingya terbunuh dalam tindakan keras tentera Myanmar, dengan jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Must Watch Video

Advertisement