MEKAH: Pasukan perubatan haji Malaysia akan memberikan perkhidmatan optimum sepanjang operasi Masyair, yang merupakan fasa paling mencabar dalam keseluruhan operasi haji.
Ketua Pakar Perubatan Haji, Dr Taufiq Rosli berkata, pelbagai persediaan telah diperkukuh bagi memastikan rawatan kesihatan kepada jemaah dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan sepanjang tempoh tersebut.
Menurut beliau, tumpuan kini diberikan kepada penyelarasan menyeluruh melibatkan semua sektor perubatan termasuk farmasi, pasukan kecemasan, doktor serta paramedik.
“Kita sedang cuba sedaya upaya untuk menyelaraskan semua sektor supaya apabila masuk ke Masyair nanti, kita dapat beri perkhidmatan yang paling optimum kepada jemaah,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, dari segi kesiapsiagaan, pasukan perubatan dilihat bersemangat dan bersedia, termasuk dalam kalangan petugas baharu yang diberi pendedahan awal bagi menghadapi cabaran sebenar di Masya’ir.
“Kita sentiasa ingatkan petugas bahawa apa yang mereka hadapi sekarang belum sampai tahap sebenar. Cabaran sebenar akan bermula di Masyair,” katanya.
Dalam usaha mempercepatkan rawatan, Dr Taufiq berkata pendekatan klinik pakar bergerak turut diperkenalkan,yang mana pakar turun sendiri ke maktab untuk bertemu jemaah.
Pendekatan itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan secara terus tanpa perlu melalui proses rujukan berperingkat, selain membantu pengesanan awal pesakit berisiko tinggi.
“Kalau sebelum ini pesakit datang kepada kita, sekarang kita yang pergi kepada mereka. Ini membantu kita kenal pasti dan rawat lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu juga memudahkan proses ‘tagging’ jemaah berisiko tinggi, sekali gus membolehkan pemantauan lebih rapi dilakukan sepanjang operasi Masya’ir.