KOTA KINABALU: Pakar psikiatri forensik berpendapat diari yang ditulis adalah lebih tepat mencerminkan keadaan mental sebenar seseorang berbanding percakapan harian kerana ia merupakan luahan peribadi yang jujur serta tidak dipengaruhi tekanan luar.
Saksi ke-67 dalam inkues kematian Zara Qairina Qairina, Dr Chua Sze Hung, 43, yang bertugas di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu, menyatakan pandangan itu ketika sesi pemeriksaan oleh pasukan peguam mewakili ibu remaja tersebut, Noraidah Lamat, di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis.
Dalam keterangannya, beliau menegaskan bahawa walaupun audio perbualan juga boleh digunakan sebagai bahan penilaian, diari tetap mempunyai nilai yang lebih tinggi dari sudut forensik dan psikologi.
“Betul, bagaimanapun, seseorang harus sedar bahawa antara dua data ini, diari akan menjadi lebih tepat dalam erti siasatan forensik dan psikologi.
"Interaksi lisan adalah penunjuk keadaan mental seseorang yang paling kurang tepat, terutamanya dalam kalangan remaja di mana penyamaran emosi adalah lebih biasa.
"Manakala diari adalah ekspresi jujur yang tulus daripada diri sebenar remaja, bebas daripada tekanan psikologi, sosial, interpersonal dan halangan penghakiman. Ia merupakan diri sebenar asal, peribadi dan tidak ditapis," katanya.
Ketika ditanya mengenai rakaman audio perbualan antara Allahyarham dan ibunya, Dr Chua menjelaskan bahawa penilaian klinikal masih meletakkan keutamaan kepada catatan diari berbanding komunikasi lisan.
"Saya kekal dengan jawapan saya sebelum ini bahawa interaksi lisan adalah kurang tepat berbanding dengan diari. Akhirnya, diari mewakili diri yang sebenar. Audio adalah interaksi lisan yang dipengaruhi oleh kemungkinan ‘diri palsu’ (false self) dan pelbagai strategi psikologi serta mekanisme pertahanan.
"Bagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa saya percaya akan ada saat-saat kasih sayang yang tulus, dan konflik anak-ibu bapa biasanya bersifat episodik," katanya.
Beliau turut menolak pandangan bahawa penilaian dibuat tanpa asas data mencukupi, dengan menegaskan diari sudah memadai sebagai data primer dalam analisis psikologi.
"Saya tidak percaya begitu kerana diari membekalkan data primer yang lebih berharga dan bebas daripada pelbagai pengaruh," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa diari merupakan ruang selamat bagi remaja untuk meluahkan emosi dan memproses tekanan yang dialami.
"Adalah tepat untuk mengatakan bahawa diari adalah ruang selamat untuk mereka berhadapan dan memproses emosi mereka. Ini seterusnya membantu mereka mengawal emosi mereka.
"Ia juga merupakan tempat di mana diri yang sebenar dan kesakitan psikologi yang sebenar ditunjukkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa luahan dalam diari boleh bersifat episodik, namun menegaskan tahap kesakitan emosi yang dicatatkan adalah serius.
"Ia harus ditekankan bahawa dalam diari tersebut, ia bukan sekadar kekecewaan atau kemarahan biasa.
"Ia adalah kesakitan sehingga ke tahap dia menyatakan keinginan untuk tidak hidup dan keinginan untuk ibunya tidak hidup. Tetapi saya bersetuju bahawa tahap konflik itu tidak diketahui secara mendalam. Ia mungkin konflik episodik dan bukannya jenis konflik 24/7 (sepanjang masa).
"Tetapi tidak bermakna kesakitan itu tidak nyata. Oleh itu, saya merumuskan dalam pendapat saya bahawa konflik itu bukan faktor langsung dalam kesimpulan bunuh diri saya, ia hanyalah salah satu daripada banyak faktor lain," tegasnya. - Sinar Harian