GEORGE TOWN: Cuti panjang hujung minggu sempena sambutan Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong minggu ini menyaksikan Pulau Pinang sekali lagi menjadi destinasi pilihan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, negeri itu menjadi tumpuan pelancong, terutama dari dalam negara sejak Jumaat lepas berikutan cuti panjang Aidiladha yang disambung dengan cuti hujung minggu sehingga esok.
“Boleh dikatakan kawasan pelancongan di negeri ini dipenuhi pengunjung dan ini sesuatu yang bagus untuk pelancongan serta ekonomi negeri, terutama peniaga kecil dengan kehadiran orang ramai yang bercuti di Pulau Pinang.
“Berdasarkan statistik, jumlah pengunjung menaiki kereta api funikular di Bukit Bendera meningkat tiga hari berturut-turut, iaitu pada Khamis sebanyak 7,400 orang diikuti Jumaat (8,300) serta semalam (8,800),” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Beliau berkata, pengunjung juga mengambil peluang cuti sekolah untuk ke negeri itu bagi menikmati durian Balik Pulau yang sememangnya terkenal sebagai “syurga durian” dalam kalangan penggemar raja buah itu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Datuk Tony Goh ketika dihubungi Bernama berkata, kadar tempahan hotel mencatatkan prestasi amat memberangsangkan, khususnya di kawasan tumpuan pelancongan dengan kebanyakan hotel merekodkan kadar penghunian yang tinggi.
Goh berkata, kadar penginapan hotel sepanjang hujung minggu cuti sekolah dan Hari Wesak mencecah antara 90 hingga 100 peratus, sekali gus membuktikan daya tarikan negeri itu sebagai destinasi percutian keluarga.
“Secara purata pada hari biasa, kadar penginapan hotel di Pulau Pinang sekitar 70 peratus, namun ia masih dikira baik kerana sekarang ini terdapat banyak pertambahan hotel baharu di negeri ini menyebabkan tempahan pada hari bekerja dilihat agak perlahan.
“Namun, sempena Aidiladha dan hujung minggu ini, kadar tempahan bilik hotel, khususnya di kawasan bandar George Town dan Batu Ferringhi menunjukkan peningkatan ketara berbanding hari biasa, iaitu ada hotel yang ditempah sepenuhnya,” katanya, sambil menambah majoriti adalah pelancong domestik.
Beliau berkata, pembukaan beberapa hotel baharu yang dijangka beroperasi tahun ini akan merancakkan lagi industri perhotelan dan pelancongan Pulau Pinang, selain memberi lebih banyak pilihan penginapan kepada pelancong.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan tapak warisan dunia di George Town dipenuhi pelancong yang mengambil peluang menikmati suasana bandar bersejarah itu, sambil mengunjungi pelbagai tarikan ikonik seperti mural jalanan, bangunan kolonial serta menikmati pelbagai hidangan tempatan yang terkenal.
Selain George Town, kawasan peranginan pantai di Batu Ferringhi turut menjadi destinasi paling sibuk dengan kehadiran pelancong yang ingin meluangkan masa bersama keluarga sambil menikmati keindahan pantai, aktiviti rekreasi dan matahari terbenam yang menjadi tarikan utama kawasan itu.
Di Bukit Bendera pula, pengunjung dilihat beratur panjang untuk menaiki kereta api funikular bagi menikmati cuaca nyaman serta panorama Pulau Pinang dari puncak bukit. Ramai yang mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama keluarga sempena cuti hujung minggu yang panjang itu.
Bukan sahaja kawasan tumpuan pelancong dipenuhi pengunjung, malah kedai-kedai nasi kandar, medan selera serta restoran tular juga sesak dengan orang ramai bagi menikmati juadah seperti nasi kandar, laksa dan char kuetiau.
Peningkatan jumlah pelancong turut menyebabkan beberapa laluan utama, terutama menuju ke Batu Ferringhi, George Town dan Bukit Bendera mengalami kesesakan lalu lintas pada waktu tertentu.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan pelancong kesesakan itu tidak menghalang mereka menikmati percutian bersama keluarga dan rakan-rakan.
Dengan gabungan warisan budaya, pantai, makanan terkenal serta pelbagai tarikan pelancongan yang ditawarkan, Pulau Pinang terus mengekalkan reputasinya sebagai antara destinasi pelancongan paling popular di negara ini, khususnya ketika musim cuti panjang.
-- BERNAMA