KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) komited menyiapkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jadual ditetapkan dengan mengutamakan aspek keselamatan, kualiti dan kepentingan awam.
Menerusi kenyataan hari ini, MRL memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung kebimbangan orang awam susulan laporan penduduk Taman Mutiara Gombak 2 mengenai aspek keselamatan pembinaan laluan rel berkenaan berhampiran kawasan kediaman mereka.
“MRL memandang serius setiap aduan dan kebimbangan yang dikemukakan oleh orang awam. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek ECRL.
"Perkara ini telah difailkan di mahkamah dan akan melalui proses perundangan sewajarnya. Sehubungan itu, MRL tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini bagi menghormati proses kehakiman,” menurut kenyataan itu.
MRL memaklumkan kerja-kerja pembinaan ECRL diteruskan selaras dengan kelulusan, spesifikasi teknikal, keperluan kawal selia dan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
MRL memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mahkamah serta semua pihak berkuasa yang berkaitan.
Media melaporkan seorang pemilik rumah di Taman Mutiara Gombak 2 memfailkan saman menuntut lebih RM1.3 juta dengan mendakwa kerja pembinaan berhampiran kediamannya menyebabkan kerosakan struktur serta menjejaskan keselamatan dan nilai hartanahnya.
-- BERNAMA