SHAH ALAM: Allahyarham Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, yang dilaporkan meninggal dunia bersama tiga lagi ahli keluarganya dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Johor disifatkan sebagai pekerja yang sangat baik dan berdedikasi sewaktu menjalankan tugas.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, Mohd Aiman berkhidmat di RISDA sekitar 15 tahun sebagai pemandu di estet Durian Mas pada mulanya, kemudian dipindahkan ke Ulu Sedili kira-kira sebulan yang lepas selaku konduktor ladang kerana memiliki rekod merit yang bagus.
Ahli Parlimen Tenggara itu secara peribadi berkata, pemergian Allahyarham bersama ahli keluarganya, Nor Azlina Abd Latif, 33, Semek Mat Soh, 75, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, meninggalkan kesan yang amat mendalam buat keluarga serta sahabat-handai termasuk warga kerja RISDA.
"Memang sangat sedih sebab saya sebenarnya baru sahaja sampai di Putrajaya dari Kluang pada malam sebelumnya. Selepas mendengar khabar arwah dan tiga ahli keluarganya meninggal dunia, saya balik semula ke sana untuk memberikan penghormatan terakhir.
"Sampai sahaja di sana (keluarga) sedang buat proses pengecaman, kemudian mandi dan kafan keempat-empat mangsa. Kami ramai-ramai tunggu hingga jam 4 pagi.
"Sempat juga saya berborak dengan ibu arwah, yang paling sedih sekali katanya bapa Mohd Aiman, Mohd Rashid Dollah baru sahaja meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Kata Manndzri, pihak pengurusan dan warga kerja RISDA amat berduka cita dengan pemergian Mohd Aiman, dalam masa sama mengucapkan takziah buat keluarga tercinta.
Atas dasar itu, jelas beliau, bantuan dari segi pengurusan dan kos bawa pulang keempat-empat jenazah ke Terengganu untuk disemadikan di kampung halaman di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun ditanggung oleh pihak estet RISDA.
"Saya pun ada sampaikan sedikit sumbangan kepada ibu arwah malam tadi. Walaupun ia tidak mengembalikan mangsa yang sudah ditakdirkan pergi, tapi diharap dapat membantu mengurangkan kehibaan dialami keluarga, insya-ALLAH.
"Justeru, saya harap mudah-mudahan pesalah diambil tindakan yang setimpal supaya memberi pengajaran kepada masyarakat lain bahawa jalan raya bukan tempat sesuai untuk memandu laju.
"Kecuaian, kelalaian dan sikap tidak peduli terhadap pengguna jalan raya lain tak patut ada dalam diri.
"Apabila terjadi kemalangan yang meragut nyawa, pelaku mestilah dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang," ujarnya lagi.
Pada Isnin, empat sekeluarga termasuk seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.
Tambah beliau, kenderaan terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 dibawa remaja lelaki yang juga adiknya berusia 19 tahun.
BMW 530e terbabit merempuh Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz yang bergerak di laluan bertentangan.
Selepas merempuh kenderaan terbabit, BMW 530e terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan, kemudian dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah.
Terbaharu, jenazah empat sekeluarga itu sudah dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom sebaik proses bedah siasat selesai jam 4 pagi.
Keempat-empat mangsa dibawa menaiki van berasingan sebelum berlepas ke Terengganu sejam kemudian.
Kesemuanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS) jam 10.45 pagi tadi dalam satu liang lahad, bersebelahan pusara bapa Mohd Aiman. - Sinar Harian