KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa majikan, penggubal dasar dan ketua tempat kerja supaya mengutamakan kesihatan mental dan pengurusan risiko psikososial sebagai elemen penting dalam keselamatan tempat kerja, produktiviti dan kemampanan organisasi.
Menurut kenyataan pada Sabtu, MEF turut menyeru pihak tersebut supaya membentuk usaha yang lebih kukuh dan terselaras dalam merealisasikan usaha itu.
Gesaan itu dibuat pada Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) MEF 2026 yang bertemakan “Breaking the Silence: Mental Health Matters at Work” di sini, pada Khamis.
MEF menegaskan komitmennya untuk menyokong usaha negara dalam memperkukuh perlindungan kesihatan mental di tempat kerja serta pengurusan risiko psikososial, tambah kenyataan itu.
Ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada acara itu, Presiden MEF Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata dunia pekerjaan sedang berubah dengan pantas, dan majikan kini semakin menghadapi cabaran psikososial yang berpunca daripada beban kerja berlebihan, lesu upaya, gangguan di tempat kerja, tekanan emosi serta kekaburan sempadan kehidupan-bekerja.
“Majikan menyedari menjaga kesejahteraan mental bukan sahaja penting bagi pekerja malah juga untuk kemampanan organisasi dan prestasi perniagaan,” katanya.
Memetik hasil dapatan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Syed Hussain berkata risiko psikososial menyumbang secara signifikan kepada kerugian ekonomi global, dengan penyakit kardiovaskular dan gangguan mental yang dikaitkan dengan tekanan kerja dianggarkan menyumbang kepada kehilangan kira-kira 1.37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global setiap tahun.
Beliau berkata keperluan sokongan pelaksanaan yang praktikal adalah penting, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Majikan, terutama daripada kalangan PMKS, memerlukan masa yang mencukupi, panduan yang praktikal, kesedaran, serta sokongan pembinaan kapasiti untuk menerima pakai langkah pengurusan risiko psikososial secara progresif dengan berkesan.
“Objektifnya mestilah untuk membangunkan budaya pencegahan, empati dan tanggungjawab bersama di semua tempat kerja,” katanya.
Dalam pada itu, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye juga menegaskan bahaya psikososial perlu diberi perhatian serius setanding dengan risiko fizikal di tempat kerja, jelas kenyataan itu.
Beliau berkata sesuatu tempat kerja tidak boleh dianggap benar-benar selamat sekiranya pekerja dibebani oleh beban kerja yang tidak realistik serta terdedah kepada buli, gangguan, atau tekanan emosi yang kronik.
“Ini bukan isu ringan, ini adalah bahaya pekerjaan sebenar yang boleh memberi kesan serius terhadap kesejahteraan, keselamatan, dan produktiviti,” katanya.
Lee berkata mewujudkan budaya kerja yang membolehkan pekerja berasa selamat dari segi psikologi untuk bercakap secara terbuka mengenai isu kesihatan mental tanpa rasa takut terhadap stigma, diskriminasi, atau tindakan balas, adalah penting.
Dua inisiatif utama, Buku Panduan Penilaian Tempat Kerja OSH (OSHWA) dan Alat Penilaian Digital OSH MEF-ILO, yang bertujuan memperkukuh amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di tempat kerja turut dilancarkan pada persidangan itu.
-- BERNAMA