Skip to main content

Malaysia

MARA tempat empat warden bekas tentera di setiap MRSM

ASYRAF WAJDI, kredit ASTRO AWANI
Asyraf Wajdi berkata setiap MRSM akan mempunyai dua warden lelaki dan dua warden wanita. - Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Amanah Rakyat (MARA) akan menempatkan empat warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di setiap Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) secara berperingkat bagi memperkukuh aspek disiplin dan sahsiah pelajar.

Pengerusinya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif itu akan dimulakan di 10 MRSM tahun ini sebelum diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata setiap MRSM akan mempunyai dua warden lelaki dan dua warden wanita.

“Proses pemilihan dan saringan bagi warden lelaki sudah selesai, manakala bagi warden wanita dijangka dimuktamadkan minggu ini.

“Kita memperkenalkan inisiatif ini kerana bekas anggota tentera mempunyai tahap disiplin tinggi dan mampu membantu mengurangkan beban guru yang tidak dapat berfungsi sebagai warden sepenuh masa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Anugerah Pendidik MARA 2026, di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata pemilihan bekas anggota tentera itu dibuat dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan bagi memastikan hanya calon yang mempunyai rekod perkhidmatan baik dipilih.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sistem pendidikan MARA terus mencatat prestasi memberangsangkan, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 99.1 peratus.

Katanya graduan TVET MARA bukan sahaja berjaya memperoleh pekerjaan, malah menerima gaji premium hasil kerjasama strategik dengan pelbagai industri.

“Terbaharu, Samsung mengambil 700 pelajar dengan gaji permulaan RM3,500. Ini membuktikan industri amat berminat mendapatkan modal insan berkemahiran dan berkompetensi tinggi yang dilahirkan oleh MARA,” katanya.

Pada majlis sama, beliau berkata MARA turut menyediakan peruntukan RM145,000 kepada lima MRSM yang dinobatkan sebagai sekolah terbaik negara dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu bagi melaksanakan program khas kecemerlangan.

– BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement