PUTRAJAYA: Malaysia mempergiat usaha melaksanakan Resolusi Kesihatan Paru-Paru Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) melalui pendekatan penjagaan kesihatan bersepadu serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta bagi meningkatkan kesihatan respiratori di seluruh negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sejak setahun lepas Malaysia telah melaksanakan resolusi itu menerusi dua strategi utama, iaitu memperkukuh perkhidmatan kesihatan paru-paru secara bersepadu di peringkat penjagaan primer serta mengoperasikan pendekatan seluruh masyarakat di bawah Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia.
“Kedua-dua pendekatan ini mencerminkan inti pati sebenar resolusi tersebut, iaitu memperkukuh kesihatan paru-paru secara menyeluruh dengan melibatkan kerajaan, petugas kesihatan, masyarakat dan sektor swasta ke arah matlamat kesihatan awam yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Kesihatan Paru-Paru: Dari Resolusi ke Tindakan - Kepimpinan Kerajaan dalam Kesihatan Paru-Paru, yang diadakan sempena WHA ke-79, di sini. Ucapan beliau dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Dzulkefly berkata pendekatan pertama memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh promosi kesihatan, pencegahan, saringan, pengesanan awal dan sistem rujukan supaya pesakit mendapat rawatan yang lebih menyeluruh di klinik serta fasiliti kesihatan utama.
Beliau berkata langkah itu diambil kerana penyakit berkaitan respiratori lazimnya mempunyai faktor risiko dan berlaku dalam kumpulan masyarakat yang sama, justeru memerlukan perkhidmatan kesihatan yang lebih tersusun dan menyeluruh, bukannya rawatan berasingan mengikut jenis penyakit.
Pendekatan kedua pula, beliau berkata memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta menerusi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia yang kini melibatkan sembilan rakan strategik termasuk Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), AstraZeneca dan IHH Healthcare Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, usaha melibatkan komuniti termasuk meningkatkan kesedaran, saringan dan diagnostik, serta memperluas akses rawatan dan sokongan kepada pesakit dapat diperkukuhkan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada perkembangan inisiatif itu, Dzulkefly berkata sebuah buku meja kopi bertajuk “A Breath For The Future: Malaysia’s National Lung Health Initiative” diterbitkan bagi mendokumentasikan usaha Malaysia dalam memperkasa kesihatan paru-paru bersepadu dari peringkat antarabangsa hingga pelaksanaan di peringkat negara.
“Kami berbesar hati melancarkan buku ini pada majlis hari ini, iaitu dokumentasi perjalanan Malaysia dalam memajukan kesihatan paru-paru secara bersepadu serta gambaran pendekatan seluruh masyarakat dalam menjayakan resolusi ini melalui tindakan yang bermakna,” katanya.
Selain itu, Dzulkefly berkata Malaysia telah membangunkan beberapa dokumen dasar termasuk Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, Pelan Strategik Nasional dan Garis Panduan Pelaksanaan bagi melaksanakan agenda kesihatan paru-paru bersepadu di seluruh negara.
“Menjelang akhir 2026, sebanyak 902 klinik kesihatan dijangka melaksanakan pendekatan kesihatan paru-paru berkenaan termasuk 65 klinik yang menyediakan perkhidmatan kesihatan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia juga sedang memperluaskan penggunaan saringan X-ray dada berbantukan AI, termasuk teknologi pengimejan mudah alih untuk komuniti luar bandar dan kawasan sukar diakses.
Dzulkefly berkata program saringan di tempat kerja juga diperluaskan menerusi Program “LungShield”, iaitu kerjasama strategik antara NCSM dan IHH Healthcare Malaysia yang memberi tumpuan kepada saringan serta pengesanan awal kanser paru-paru dalam kalangan petugas barisan hadapan dan pekerja berisiko tinggi.
Beliau berkata pada masa depan Malaysia percaya pendekatan kesihatan paru-paru bersepadu perlu diterapkan dalam sistem penjagaan kesihatan primer sebagai sebahagian daripada strategi liputan kesihatan sejagat, selain usaha pencegahan dan pengesanan awal juga perlu diperkukuh melalui kawalan tembakau dan vape, program berhenti merokok, vaksinasi serta pengurusan kualiti udara yang lebih baik.
“Fasa seterusnya perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan berterusan, mengukur pencapaian dan kerjasama lebih kukuh bagi meningkatkan kesihatan respiratori di peringkat global,” katanya.
-- BERNAMA