KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih sebagai tuan rumah International Association of Gerontology and Geriatrics (IAGG) Asia dan Oceania Regional Congress 2028 (IAGG AOR 2028) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Julai 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IAGG AOR 2028, Prof Dr Tan Maw Pin berkata, penganjuran itu merupakan satu pencapaian bersejarah kerana julung kali kongres berprestij bagi rantau Asia dan Oceania diadakan di Kuala Lumpur.
"Ia sekali gus mencerminkan keyakinan komuniti saintifik antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia menganjurkan persidangan bertaraf dunia dalam bidang gerontologi dan geriatrik," katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Beliau berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah turut membawa amanah besar daripada IAGG untuk meneruskan kecemerlangan penganjuran kongres bertaraf antarabangsa yang sebelum ini berlangsung di beberapa negara maju.
Terdahulu, Kongres Dunia Gerontologi dan Geriatrik IAGG ke-23 berlangsung di Amsterdam, Belanda dari 5 hingga 8 Julai lalu.
Kongres itu menghimpunkan ribuan pakar, penyelidik, profesional kesihatan dan pembuat dasar dari seluruh dunia bagi membincangkan cabaran serta inovasi berkaitan penuaan penduduk.
Delegasi Malaysia diketuai Maw Pin bersama ahli jawatankuasa penganjur daripada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UITM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).
Sepanjang kongres, delegasi negara menyertai pelbagai sesi sebagai panel penceramah, pembentang oral dan poster penyelidikan dalam bidang penjagaan warga emas, kesihatan, demensia serta penuaan sihat.
Pada masa sama, Malaysia turut mempromosikan IAGG AOR 2028 menerusi sesi jaringan profesional dan aktiviti promosi.
Usaha itu bertujuan menggalakkan penyertaan komuniti gerontologi antarabangsa ke Kuala Lumpur pada 2028.
Penganjuran kongres berkenaan dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama penyelidikan dan perkongsian kepakaran dalam bidang penuaan sihat.
Selain meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab persidangan saintifik dan perubatan serantau, ia turut dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan, ekonomi serta pembangunan penyelidikan berkaitan penjagaan warga emas di negara ini.
Geriatrik ialah bidang perubatan yang memberi tumpuan kepada penjagaan, rawatan dan pencegahan penyakit dalam kalangan warga emas manakala Gerontologi ialah bidang yang mengkaji proses penuaan dari aspek biologi, psikologi, sosial, budaya, ekonomi dan persekitaran.