SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menyembur cecair pemedih mata terhadap pasangan suami isteri di hadapan sebuah restoran di Seremban 2, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di hadapan rumahnya, di sini, pada 11.45 malam.
Beliau berkata kejadian berlaku ketika wanita yang juga peniaga berusia 49 tahun bersama suaminya menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan menyedari diekori sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna perak kira-kira 6 petang.
“Kereta dipandu lelaki itu kemudian memintas dan menahan kereta mangsa secara mengejut sebelum dia keluar dan cuba memprovok pasangan itu serta mengambil sesuatu daripada belakang keretanya.
“Lelaki itu bertindak menyembur cecair pemedih mata kepada mangsa menyebabkan mereka mengalami pedih serta kegatalan pada mata. Mereka mendakwa tidak mengenali dan mengetahui motif dilakukan lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Yatim berkata kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja’afar dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, polis merampas sebotol semburan pemedih mata berwarna hitam bertulis “Police” yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dengan semakan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.
Mohd Yatim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 dan polis memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Seremban hari ini bagi membantu siasatan.
— BERNAMA