Skip to main content

Malaysia

Lebih 300 projek pembangunan dilaksana di DUN Serkam - Ab Rauf

4 Julai 2026 - Malam ini, kita bukan sahaja meraikan kemeriahan Festival Pantai Siring, malah turut menyaksikan satu lagi pencapaian penting apabila Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Serkam melengkapkan siri pelaksanaan yang ke-21 daripada keseluruhan 28 DUN di negeri Melaka._FB Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf (tengah) hadir pada Majlis Penutupan Program WRUR DUN Serkam sempena Festival Pantai Siring 2026, di Jasin, malam tadi. - Facebook Ab Rauf

JASIN: Lebih 300 projek pembangunan bernilai lebih RM40 juta telah dan sedang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dalam tempoh tiga tahun bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaksanaan projek berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan infrastruktur, perumahan, keagamaan, mitigasi banjir, kebajikan dan pelancongan.

“Antara projek yang dilaksanakan ialah kerajaan negeri telah membina dua masjid baharu, iaitu Masjid Jamek Al-Faizin di Kampung Bukit Tembakau dan Masjid Jamek Al-Rasyidin di Serkam Darat membabitkan peruntukan RM12.8 juta.

"Selain itu, dua keluarga dibantu memiliki rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku dengan peruntukan RM140,000, manakala 47 projek baik pulih rumah dan lima projek bina baharu dilaksanakan melibatkan peruntukan RM1.36 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Serkam bersempena dengan Festival Pantai Siring 2026, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sepanjang tempoh 2023 hingga 2026 pula, sebanyak 13 rumah bina baharu dan 94 rumah dibaik pulih dengan jumlah peruntukan RM2.5 juta.

Beliau berkata sebanyak 45 projek jalan raya, 48 projek longkang dan pembetung serta pemasangan 47 tiang lampu jalan telah dilaksanakan dengan nilai keseluruhan lebih RM3.2 juta.

Kerajaan negeri turut melaksanakan 21 projek berkaitan saliran, sungai, tebing dan mitigasi banjir membabitkan peruntukan RM3.3 juta bagi mengurangkan risiko banjir serta melindungi kesejahteraan penduduk.

"Pembangunan itu memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 26,000 penduduk DUN Serkam, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang memenuhi keperluan rakyat.

"Semua yang saya sebutkan ini bukan untuk kita berbangga dengan angka. Angka hanyalah ukuran. Yang lebih penting ialah kesannya kepada kehidupan rakyat," katanya.

Program WRUR DUN Serkam yang menghimpunkan 68 program merupakan siri pelaksanaan ke-21 daripada keseluruhan 28 DUN di Melaka, sekali gus membuktikan pendekatan kerajaan negeri yang mengutamakan kehadiran secara langsung di lapangan bagi mendengar serta menyelesaikan isu rakyat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement