Skip to main content

Malaysia

Lebih 1,300 wanita jalani saringan mamogram percuma di Melaka - Exco

MELAKA, 12 Jun -- Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Abdul Shukur Abdullah (depan, tengah) dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka Datuk Kalsom Noordin (depan, tujuh, kanan) bersama para peserta selepas merasmikan Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN Melaka malam ini.  Program berkenaan merupakan inisiatif di bawah pendekatan 'edutainment' yang dilaksanakan oleh KafeTEEN Melaka bagi mendekati golongan remaja secara lebih santai, kreatif dan relevan
Abdul Shukur (depan, tengah) dan Kalsom (depan, tujuh, kanan) bersama para peserta selepas merasmikan Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN Melaka pada malam Jumaat. - Gambar Bernama

MELAKA: Sebanyak 1,318 wanita berusia 40 hingga 70 tahun menjalani saringan mamogram percuma di bawah Program Subsidi Ujian Mamogram Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang disediakan pada tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka Datuk Kalsom Noordin berkata saringan bagi mengesan kanser payudara itu masih dibuka kepada golongan wanita peringkat umur berkenaan dengan sasaran sebanyak 1,800 wanita melakukan ujian berkenaan pada tahun ini.

Beliau berkata pemeriksaan tersebut boleh dilakukan di tiga hospital swasta di negeri ini, iaitu Putra Specialist Hospital Melaka, Hospital Pantai Ayer Keroh dan Mahkota Medical Centre.

"Peserta yang layak dan berminat untuk melakukan saringan mamogram berkenaan boleh datang ke Klinik Nur Sejahtera LPPKN Melaka atau program outreach klinik tersebut untuk mendaftar dan mendapatkan tarikh janji temu di hospital terlibat.

"Setakat ini, kita lihat sambutan daripada golongan wanita untuk melakukan saringan mamogram menerusi inisiatif ini di Melaka sangat baik berbanding sebelum ini, sekali gus membuktikan tahap kesedaran mereka tentang kepentingan melakukan saringan itu yang semakin tinggi," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN Melaka yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah LPPKN Datuk Abdul Shukur Abdullah dan turut dihadiri Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka Suszma Khairitszi Mamat.

Kalsom berkata saringan mamogram percuma itu perlu dimanfaatkan golongan sasar terlibat dalam usaha untuk mengesan kanser pada peringkat awal selaras dengan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita yang giat dilaksanakan kerajaan menerusi LPPKN.

Katanya, pemberian subsidi itu juga membantu meringankan beban kewangan golongan wanita bagi mendapatkan saringan berkenaan.

"Sehubungan dengan itu, kita menggalakkan golongan wanita di luar sana yang layak untuk menjalani saringan mamogram supaya segera melakukannya kerana kuota yang disediakan masih ada," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement